KUALA LUMPUR 12 Jan: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata,
pihak pendakwaan dalam kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak
mempunyai asas mengemukakan rayuan.
Beliau mengulas tindakan pihak pendakwa yang mahu membuat rayuan
berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad
Zabidin Mohd Diah, yang membebaskan Anwar dari tuduhan liwat, Isnin
lalu.
Dalam laporan Buletin Utama, TV3 semalam, Peguam Cara II Negara,
Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata, cadangan berkenaan akan
dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
“Saya menyatakan adalah amat tidak munasabah bagi peguam negara untuk
memfailkan rayuan terhadap pembebasan ketua pembangkang,” ujar
Surendran.
“Tidak ada keterangan munasabah yang dipercayai atau apa-apa asas
untuk memfailkan rayuan terhadap Datuk Seri Anwar. Keputusan hakim
Zabidin adalah betul melihat kepada keterangan yang telah disampaikan
kepada mahkamah,” tegas beliau.
Justeru itu, Surendran meminta peguam negara tidak menurut arahan
politik daripada Umno-BN untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan
tersebut.
“Saya juga memberi amaran kepada Umno supaya jangan menggunakan
pengaruh politik untuk mengarahkan rayuan difailkan,” tegasnya yang juga
peguam.Menyokong kenyataan Majlis Peguam, Surendran berkata, sesuatu rayuan
hanya boleh difailkan sekiranya didapati mahkamah menolak bukti kukuh
sepanjang perbicaraan.
“Rayuan hanya dibuat apabila sesuatu kes yang kukuh telah ditolak
mahkamah, tetapi di sini tiada kes terhadap ketua pembangkang, tambahan
ia tajaan politik Umno-BN,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan Anwar
dari tuduhan meliwat bekas pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan.Ketika membuat kesimpulannya, Zabidin berkata kedua-dua bukti iaitu
DNA dan juga bukti lisan tak boleh mensabitkan ahli parlimen Permatang
Pauh itu bersalah.Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan