Sabtu, 17 September 2011

Mansuh ISA : Zaid Ibrahim Mohon Maaf Dengan Najib

Oleh: WFAUZDIN NS

SEKONYONG-KONYONGNYA bekas Menteri, Zaid Ibrahim pemimpin Parti KITA pun memohon maaf kepada Najib di atas `ketelanjurannya'. Permohonan maaf dari bekas ahli PKR itu amat `tepat pada masa'nya menjelang PRU ke 13 yang dijangka tidak beberapa lama lagi. Zaid memohon maaf kerana `bersangka jahat' kepada Najib sebelum ini yang dulunya beliau tidak yakin Najib berani untuk menghapuskan Akta zalim ISA.

"Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini. "Saya sifatkan ini sebagai satu hadiah kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kota Bharu (Malaysiakini).

Zaid menganggap ianya sebagai satu hadiah kepada rakyat di dalam keadaan masih ada yang menghuni penjara di Kemunting akibat akta jahiliyyah itu. Benarkah Akta ISA telah dihapuskan? Di mana hitam putihnya dan semenjak semalam adakah tahanan ISA yang telah dibebaskan? Paling penting, apakah akan ada akta baru dicipta yang satu `spesis' dengan Akta ISA? Tidak mahu bersangka buruk pada Najib, tetapi tidak juga lupa bagaimana Najib menipu kita di dalam isu kebenaran berhimpun sewaktu BERSIH 2.0 mohon untuk berhimpun di stadium.

Mengapa Zaid terlalu cepat berterima kasih? Mungkin beliau mengharapkan simpati Najib untuk memberi laluan kepada KITA di beberapa kerusi di dalam PRU nanti. `I Help U, U Help Me', suatu perkataan yang sinonim dengan Najib.

Di Pahang baru-baru ini, seorang wakil dari KITA telah berjumpa Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman agar dapat kiranya PKR Pahang memberi laluan pada calon KITA di beberapa kerusi di Pahang. Kononnya, KITA mempunyai matlamat yang sama dengan PR iaitu untuk menumbangkan Umno/Bn. Jawapan Dato' Fauzi mudah, "Jika bermatlamat yang sama, mengapa tidak mahu menyertai PR?". Maka, wakil KITA pun pulang dengan hampa.

Zaid Ibrahim bukan seorang yang bodoh tetapi beliau bukannya secerdik mana di dalam politik. Jika beliau cerdik, masakan beliau lari lintang pukang di dalam gelanggang sebelum perlawanan berakhir bertemu Azmin sewaktu pemilihan di dalam PKR dahulu? Kononnya Azmin menipu. Alasan lazim dari seorang pengecut. Berapa banyak undi Azmin menipu, dan berapa banyak undi majoriti Azmin?

Chegu Bard pun tidak berpuas hati dengan pemilihan dan beliau juga ada asas untuk membuat dakwaan tersebut. Adakah Chegu Bard keluar dari parti dan wujudkan parti baru? Sebab itu saya katakan Zaid tidak secerdik mana, justeru itu tidak hairanlah beliau memohon maaf pada Najib. Malangnya, kita tidak sebodoh itu untuk menafsirkan apa yang tersirat. Hanya di dalam beberapa ayat dan beberapa minit pada ucapannya, Najib berjaya memperbodohkan beberapa orang termasuk Zaid.

Syabas pimpinan PR yang tidak melatah dan teruja dengan janji Najib yang seterusnya ini. Lihatlah, beberapa tokoh yang dulu memuja Akta ISA dengan mengemukakan berbagai dalil, akhirnya berjaya ditundukkan oleh Najib. Ertinya, Najib berjaya menundukkan kumpulan `burung belatuk' tersebut dan pimpinan PR berjaya tundukkan Najib dengan desakan demi desakan yang telah kita lakukan.

Buat Zaid, tunjukkanlah kekuatan parti anda anda dengan cara sebenar bukan dengan stail lama iaitu kipas dan ampu. Jangan terperanjat jika Zaid akan mencari alasan untuk menghalalkan KITA berada di dalam Bn. /wfauzdin.blogspot.com

Mansuh ISA : NGO Pro ISA ' Terkejut ',Apa Kata Mereka ???

Sebahagian daripada 20,000 penyokong Gerakan Mansuhkan ISA berarak di ibu negara pada 1 Ogos 2009 sebelum menuju ke arah Istana Negara. — Foto Ihsan The Star

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Gabungan NGO Bersama Malaysia, yang dua tahun lalu bertembung dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk menyokong Putrajaya agar mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akan membuat pendirian rasmi Isnin ini sama ada menyokong inisiatif pentadbiran Najib ataupun sebaliknya.

“Ya betul, kami akan bermesyuarat Isnin ini bagi melihat dan membuat pendirin... tunggu lepas mesyuarat, pandangan ahli jawatankuasa akan diambil kira,” kata Setiausaha Gabungan NGO Bersama Malaysia Mohd. Jurit Ramli ketika ditanya sama ada langkah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercanggah dengan pendirian mereka dua tahun lalu.

Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider hari ini, Mohd Jurit mengakui pihaknya agak terkejut dengan langkah diumumkan oleh Najib kelmarin.

“Pada pandangan kami agak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri kerana satu tindakan yang berani.

“Kami megambil pendekatan menunggu dan melihat penggubalan undang-undang baru yang akan menggantikan ISA. Kami hanya mengharapkan satu undang-undang yang boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang berbilang kaum terjamin,” kata beliau.

Pada 1 Ogos 2009, penyokong GMI dan Gabungan NGO Bersama Malaysia berhimpun di ibu negara untuk mengetengahkan pendirian masing-masing.

Perhimpunan itu diadakan empat bulan selepas Najib mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri keenam dan turut menjanjikan ISA akan dikaji semula.

Bagaimanapun, kehadiran GMI yang mengatasi bilangam peserta perhimpunan Gabungan NGO Bersama Malaysia ketika itu, menggesa Najib memansuhkan terus ISA.

Gabungan NGO Bersama Malaysia pula mahu ISA dikekalkan dan mereka juga memutuskan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara meminta ISA terus digunakan.

Lebih 200 penyokong GMI termasuk dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menyertai himpunan anti-ISA pada hari itu, yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai tidak sah, ditahan.

Malah ketika itu, Mohd Jurit memberitahu kumpulan mereka juga menyifatkan telah mencapai sasaran mereka dengan mesej “tidak semua sokong ISA dimansuhkan.”

Banyak pihak yang menyokong agar ISA dikekalkan dua tahun lalu itu hari ini melahirkan pandangan menyokong pengumuman Najib kelmarin, memutuskan untuk memansuhkan ISA.TMI

Laporan Polis Dibuat Terhadap Zainal Kling

KUALA LUMPUR 16 SEPT : Pemuda PAS hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berhubung kenyataannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkata, laporan tersebut dibuat berikutan dakwaan bahawa kenyataan itu mengganggugugat kestabilan dan mengelirukan masyarakat yang sekian lama diajar bahawa British adalah penjajah.

Laporan itu dibuat oleh setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil pada jam 2.30 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

"Kenyataan ini juga sekaligus menafikan pengorbanan para pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair yang telah mempertaruhkan nyawa seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Dato' Bahaman, Dol Said, Rosli Dobi dan lain-lain," laporan itu dipetik.

Menurutnya lagi, pemuda PAS juga mengesyaki terdapat agenda tersembunyi yang dirancang pihak tertentu di sebalik kenyataan itu, bertujuan menggugat keharmonian dan mewujudkan kegusaran masyarakat bagi mengalih perhatian terhadap isu-isu lain, tambah pengadu.

Justeru, sayap kanan PAS itu menuntut Dr Zainal disiasat dan didakwa di mahkamah kerana didakwa jelas melakukan kesalahan bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Seskyen itu meliputi kesalahan mengeluarkan kenyataan atau berita menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong dan/atau mengapikan mana-mana pihak untuk melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.TVS

Perasuah negara, pengkhianat moden

Telok Kemang: “Ketirisan sebanyak RM28 bilion setahun menurut Laporan Audit Negara 2009 jelas menunjukkan bahawa pengurusan negara berada dalam bahaya dan membimbangkan”, kata Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Beliau berkata dalam situasi rakyat asyik membincangkan kemelut Parti Komunis Malaya (PKM) mereka lupa tentang persoalan ini.

“Signifikan persoalan rasuah yang mahu kita bincangkan dengan perbandingan isu komunisme adalah merupakan persoalan masa depan negara dan rakyat keseluruhannya.

“Sejarah boleh dibincangkan secara ilmiah dan intelektual namun perdebatan kolot oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam isu sejarah menutup ruang perbincangan dan analisis sejarah secara saintifik dan holistik ”, ujar Kamarul.

Kamarul yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan menambah kegagalan pimpinan Umno-BN dalam memahami kupasan dan isu sejarah menunjukkan bahawa mereka sudah semakin hilang upaya dalam mentadbir negara.

Sejarah yang benar dan tepat adalah penting buat negara dan rakyat. Jika isu sejarah pun gagal diuruskan dengan baik oleh kerajaan sudah pasti ini menjadi satu lagi bukti bahawa pimpinan Umno-BN sudah tidak relevan untuk diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat.

“Jika isu sejarah tidak mampu lagi diurus dan difahami dengan baik oleh pimpinan Umno-BN, apatah lagi dengan kemelut isu rasuah, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan salah urus tadbir negara yang parah seperti yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara sehingga negara kerugian berbilion ringgit”.

“Ini tidak termasuk oleh pinjaman Felda sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang boleh ndipersoalkan kewajarannya.

“Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 juga telah meningkat kepada RM362.39 bilion atau 53.7% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion juga telah kerajaan bebankan ke atas rakyat dengan melancarkan 19 program jualan bon pada tahun 2010”, jelas Kamarul lagi.

Justeru itu Kamarul berkata perasuah dan pembuat hutang negara yang telah menggelapkan wang rakyat secara haram dan jijik termasuk oleh pimpinan Umno-BN haruslah ditentang oleh rakyat habis-habisan.

Inilah perjuangan rakyat masa kini dalam menentang pengkhianat moden yang berselindung disebalik dinding kekuasaan di Putrajaya.

Masa depan negara terletak di tangan rakyat untuk membuat keputusan secara serius menolak dan memerangi pengkhianat moden negara.

Laporan Audit Negara untuk tahun 2010 dijangka akan dikeluarkan sebelum hujung tahun ini.FMT