Sabtu, 17 September 2011

Mansuh ISA : Zaid Ibrahim Mohon Maaf Dengan Najib

Oleh: WFAUZDIN NS

SEKONYONG-KONYONGNYA bekas Menteri, Zaid Ibrahim pemimpin Parti KITA pun memohon maaf kepada Najib di atas `ketelanjurannya'. Permohonan maaf dari bekas ahli PKR itu amat `tepat pada masa'nya menjelang PRU ke 13 yang dijangka tidak beberapa lama lagi. Zaid memohon maaf kerana `bersangka jahat' kepada Najib sebelum ini yang dulunya beliau tidak yakin Najib berani untuk menghapuskan Akta zalim ISA.

"Saya dahulu tidak yakin Najib mempunyai keberanian untuk membuat sesuatu yang besar dan hari ini saya minta maaf pada Perdana Menteri kerana akhirnya sanggup berbuat sesuatu yang bermakna dan besar untuk memansuhkan ISA ini. "Saya sifatkan ini sebagai satu hadiah kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kota Bharu (Malaysiakini).

Zaid menganggap ianya sebagai satu hadiah kepada rakyat di dalam keadaan masih ada yang menghuni penjara di Kemunting akibat akta jahiliyyah itu. Benarkah Akta ISA telah dihapuskan? Di mana hitam putihnya dan semenjak semalam adakah tahanan ISA yang telah dibebaskan? Paling penting, apakah akan ada akta baru dicipta yang satu `spesis' dengan Akta ISA? Tidak mahu bersangka buruk pada Najib, tetapi tidak juga lupa bagaimana Najib menipu kita di dalam isu kebenaran berhimpun sewaktu BERSIH 2.0 mohon untuk berhimpun di stadium.

Mengapa Zaid terlalu cepat berterima kasih? Mungkin beliau mengharapkan simpati Najib untuk memberi laluan kepada KITA di beberapa kerusi di dalam PRU nanti. `I Help U, U Help Me', suatu perkataan yang sinonim dengan Najib.

Di Pahang baru-baru ini, seorang wakil dari KITA telah berjumpa Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman agar dapat kiranya PKR Pahang memberi laluan pada calon KITA di beberapa kerusi di Pahang. Kononnya, KITA mempunyai matlamat yang sama dengan PR iaitu untuk menumbangkan Umno/Bn. Jawapan Dato' Fauzi mudah, "Jika bermatlamat yang sama, mengapa tidak mahu menyertai PR?". Maka, wakil KITA pun pulang dengan hampa.

Zaid Ibrahim bukan seorang yang bodoh tetapi beliau bukannya secerdik mana di dalam politik. Jika beliau cerdik, masakan beliau lari lintang pukang di dalam gelanggang sebelum perlawanan berakhir bertemu Azmin sewaktu pemilihan di dalam PKR dahulu? Kononnya Azmin menipu. Alasan lazim dari seorang pengecut. Berapa banyak undi Azmin menipu, dan berapa banyak undi majoriti Azmin?

Chegu Bard pun tidak berpuas hati dengan pemilihan dan beliau juga ada asas untuk membuat dakwaan tersebut. Adakah Chegu Bard keluar dari parti dan wujudkan parti baru? Sebab itu saya katakan Zaid tidak secerdik mana, justeru itu tidak hairanlah beliau memohon maaf pada Najib. Malangnya, kita tidak sebodoh itu untuk menafsirkan apa yang tersirat. Hanya di dalam beberapa ayat dan beberapa minit pada ucapannya, Najib berjaya memperbodohkan beberapa orang termasuk Zaid.

Syabas pimpinan PR yang tidak melatah dan teruja dengan janji Najib yang seterusnya ini. Lihatlah, beberapa tokoh yang dulu memuja Akta ISA dengan mengemukakan berbagai dalil, akhirnya berjaya ditundukkan oleh Najib. Ertinya, Najib berjaya menundukkan kumpulan `burung belatuk' tersebut dan pimpinan PR berjaya tundukkan Najib dengan desakan demi desakan yang telah kita lakukan.

Buat Zaid, tunjukkanlah kekuatan parti anda anda dengan cara sebenar bukan dengan stail lama iaitu kipas dan ampu. Jangan terperanjat jika Zaid akan mencari alasan untuk menghalalkan KITA berada di dalam Bn. /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan