Rabu, 14 September 2011

Video : Sidang Media Mat Sabu Selepas Failkan Saman Keatas Utusan




KUALA LUMPUR, 14 sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu komunis.

Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Ianya berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk "Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong" yang didakwanya sebagai fitnah.

"Saya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.

"Fitnah-fitnah yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang," kata Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.

Menurut Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu.

Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.

Dalam laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.

Ekoran laopran itu juga menurut Mohamad, beliau dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ‘awak patut bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan kamu.’

Beliau berkata, ada juga mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan kenya­taannya.Hrkh

Siapa Mahathir Minta Najib Lewatkan PRU 13

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Pakatan Rakyat pula menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad agar kembali menyandang jawatan perdana menteri jika pemimpin veteran itu mahu mempertikaikan saranan mereka agar kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang berbincang menentukan tarikh pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum.

“Kalau apa yang kami katakan hendak disindir, maka kami cadangkan Dr Mahathir kembali menjadi perdana menteri dan kami persoalkan apa hak Dr Mahathir untuk menasihatkan agar Datuk Seri Najib melewatkan pilihan raya umum ke-13,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Salahuddin berkata idea yang dilontarkan oleh mereka sebenarnya bertujuan menjaga kebaikan rakyat dan demi kepentingan negara.

“Malah perkara ini boleh dilakukan dan sedang diamalkan beberapa negara,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini dengan merujuk kepada amalan di Amerika Syarikat dan pendirian kerajaan campuran di Britain baru-baru ini.

“Apa salahnya kami beri pandangan ini?” soal beliau lagi.

Salahuddin berkata Pakatan Rakyat merasakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewajarnya mempertimbangkang perkara ini jika benar-benar mahu membawa pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini.

Itu sebab tegas beliau, pihaknya meminta agar pilihan raya umum tidak dipanggil selagi jawatankuasa pilihan khas Parlimen tidak selesai mengadakan mesyuaratnya untuk mengemukakan laporan.

“Jadi saya berpendirian bahawa itu pandangan Pakatan Rakyat... demi kebaikan negara dan rakyat.

“Jika pandangan ini tidak boleh diberikan apa status Dr Mahathir apabila beliau sendiri meminta agar Najib tangguh panggil pilihan raya?” katanya.TMI

Gempar !!! Soalan Sejarah SPM Bocor ???

Soalan peperiksaan yang dikatakan bocor!!! Untuk besarkan klik pada imej


Benarkah soalan peperiksaan Sejarah SPM akan datang telah siap dan kini bocor di laman-laman Facebook?

Bukan, sebenarnya ia hanya satu permainan perang saikologi yang sedang berlaku dalam media baru ekoran perdebatan sejarah negara.

Isu perdebatan sejarah kemerdekaan negara membawa kepada dimensi yang lebih menarik apabila ia dijadikan permainan saikologi dalam laman media-media baru.

Terkini, satu soalan peperiksaan dipostkan ke laman sosial Facebook dan menjadi bahan yang popular untuk dibahaskan.


Sekali imbas, kertas yang berbentuk kertas soalan peperiksaan itu semacam kertas soalan bocor untuk peperiksaan akan datang.

Berdasarkan bentuknya ia kelihatan semacam soalan sejarah SPM atau kertas am STPM.

Namun, jelas sekali amat sukar untuk para pelajar menjawab soalan ini selepas isu sejarah kemerdekaan negara didebatkan sedemikian rupa.

Yang menjadi mangsa adalah Profesor Zainal Kling( gambar kiri ) apabila beliau membuat satu kenyataan yang menggemparkan, negara ini tidak pernah dijajah oleh British.

Jelas kenyataan profesor Umno itu menjadi bahan permainan terbaru.

Antara soalan yang ditanyakan adalah "Terangkan status penduduk Malaya yang bekerja dengan British."

Adalah dipercayai, ia direka berdasarkan kenyataan Mohamad Sabu, timbalan presiden PAS yang mempertikaikan persepsi selama ini bahawa polis yang bertugas di rumah pasong Bukit Kepong adalah hero manakala penyerangnya termasuk Mat Indera adalah pengganas.

Sedangkan bagi Mohamad Sabu, polis ketika itu bekerja dengan penjajah British manakala Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan.

Dalam soalan keduanya, 'Pembentukan Persekutuan ini merupakan penjajahan atau pernaungan? Terangkan".

Ia jelas ditujukan kepada Zainal Kling ekoran kenyataannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British berbanding banyak teks sejarah yang menyatakan British adalah penjajah negara.

Soalan C pula berbunyi, "Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, adakah tepat menunjukkan Malaya tidak pernah dijajah oleh British."

Dan soalan paling akhir adalah, "Berapa tahunkah usia kemerdekaan negara kita sebenar." Ini dipercayai ekoran dari polemik yang dicetuskan sejak kebelakangan ini.Hrkh

Mat Sabu Failkan Saman Keatas Utusan Hari Ini

KUALA LUMPUR 14 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan memfailkan saman ke atas akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Hal itu disahkan oleh Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada portal The Malaysian Insider.

Sebelum ini kerajaan berkata Mohamad tidak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebab tindakannya tidak mengancam keselamatan negara.

“Saya dimaklumkan beliau akan memfailkan kes hari ini, setakat ini satu pihak sahaja... Utusan, beliau akan mengadakan sidang media selepas itu,” kata Tuan Ibrahim.

Penghujung minggu lalu, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata akan memfailkan saman ke atas Utusan Malaysia berhubung satu berita berkenaan ceramahnya yang menyentuh tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Tempoh 24 jam yang diberikan beliau kepada akhbar itu berakhir Jumaat lalu.

“Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekali gus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal,” Mat Sabu dipetik sebagai berkata demikian Sabtu lalu.

Mat Sabu sebelum ini menerima serangan bertubi-tubi dari pimpinan Umno dan media arus perdana ekoran menyifatkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar. TVS