Rabu, 14 September 2011

Video : Sidang Media Mat Sabu Selepas Failkan Saman Keatas Utusan




KUALA LUMPUR, 14 sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu komunis.

Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.

Ianya berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk "Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar Tragedi Bukit Kepong" yang didakwanya sebagai fitnah.

"Saya hanya mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.

"Fitnah-fitnah yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang," kata Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.

Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.

Menurut Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu.

Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.

Dalam laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.

Ekoran laopran itu juga menurut Mohamad, beliau dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ‘awak patut bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan kamu.’

Beliau berkata, ada juga mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan kenya­taannya.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan