Rabu, 29 Jun 2011

Video : Pelekat Palsu Dicetak Untuk Sabotaj Bersih 2.0


Pelekat palsu Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 29 Jun: PAS mendakwa terdapat usaha pihak tertentu mengelirukan rakyat dengan mengedarkan pelekat kenderaan palsu berlogo Bersih dan berwarna kuning.

Namun pelekat berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan apabila tertera ayat "Bersama kita tumbangkan kerajaan sekarang!" dan Buktikan kita mampu seperti Libya!".

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub memberitahu, beliau mendapat maklumat bahawa terdapat sebuah kilang di Johor yang mencetak pelekat berkenaan dalam kuantiti yang banyak diercayai turut dicetak di seluruh negara.

"Ini satu perancangan rapi dan teliti yang tujuannya untuk sabotaj program Bersih 9 julai ini dan ini merupakan usaha pihak tertentu untuk menimbulkan satu keadaan dan suasana yang tegang," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Justeru beliau berkata PAS akan berbincang dengan peguam mereka untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini.

"Mungkin esok melalui peguam kami akan membuat laporan kepada polis dan saya yakin ini bukan kerja seketariat Bersih 2.0 walaupun latar belakang pelekat ini kuning," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, seorang lagi naib presiden, Datuk Mahfuz Omar menegaskan himpunan 9 Julai ini bukan untuk menurunkan kerajaan sepeerti yang berlaku di Mesir sebaliknya hanyalah untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Himpunan ini bukan untuk turunkan kerajaan tapi nak tuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kita anak jantan nak turunkan BN melalui peti undi. Tak ada dalam tuntutan Bersih pun nak turunkan kerajaan," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli berpandangan, tindakan mengelirukan rakyat ini hanyalah untuk mewujudkan satu alasan agar kerajaan menghalang ianya daripada berlaku.

"Mereka mahu pihak berkuasa menggunakan ini sebagai hujah bahawa himpunan ini lebih daripada satu himpunan aman dan mahu mengaitkan himpunan ini dengan himpunan di negara lain," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad mencabar Pemuda Umno untuk memastikan perhimpunan mereka berlangsung aman.

"PAS cabar pemuda Umno dan khairy untuk memastikan himpunan mereka juga aman kerana kita menuntut pilihan raya yang bersih. Kita mahu pilihan raya di atas padang yang sama rata.

"Siapa menang, siap kalah, biarkan rakyat yang membuat pilihan," katanya.Hrkh

Bersih 2.0: Tembelang Najib Pecah

KOMENTAR 29 JUN : "Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat,” Itu intipati ucapan Perdana Menteri Najib Razak beberapa bulan selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009. 

Dalam sekelip mata di bawah teraju beliau, Malaysia kembali ke era negara polis yang mewarnai pemerintahan Tun Mahathir Mohamad. 

Hanya kerana berlainan pendapat dengan pemerintah, maka suara 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba dibisukan, manakala ruang bersuara untuk parti pembangkang disempitkan lagi. 

Rakyat yang memakai T-shirt membawa logo Bersih ditangkap, malah bendera Malaysia yang dibawa mereka untuk diedarkan kepada orang ramai juga dirampas. 

Ratusan ribu rakyat yang mahu turun menzahirkan keperluan untuk sistem pilihanraya diperbaiki supaya lebih adil dan telus, akan menghadapi serangan polis bersenjatakan belantan dan pancutan air berkimia pada 9 Julai.  

Segala aktiviti penganjur Bersih dan pemimpin- pemimpin politik yang menyokong gerakan itu diibaratkan oleh polis dan media arus perdana sebagai memudaratkan keselamatan negara. 

Malah Bersih, menurut Umno-Barisan Nasional, akan memberi kesan teruk kepada ekonomi Malaysia jika tidak dibendung.

Polis di seluruh negara digerakkan untuk menahan sesiapa sahaja yang memakai Baju T dengan logo Bersih dan merampas apa sahaja yang mengandungi logo  itu.
 
Akhirnya tembelang Perdana Menteri Najib Razak “pecah”.
Janji-janji untuk mengamalkan keterbukaan dan menjadikan rakyat sebagai paksi kepada segala tindakan beliau hanya kenyataan politik yang kosong. 

Sebaliknya beliau menunjukkan kecederungan menggunakan insitusi polis untuk meluntur malah memadamkan sebarang bantahan rakyat secara terbuka. Dasar ini kerap dilakukan di zaman Mahathir dan kini berulang di era Najib. 

Justeru polis mula bertindak keras untuk membatalkan Bersih 2.0.   

Tidak ada negara yang mendokong demokrasi mempunyai pasukan polis yang menangkap orang hanya kerana pakaian mereka tidak seiring dengan pemikiran kerajaan. 

Apakah undang-undang rimba berdaulat kembali apabila polis boleh menyerbu dan menyita sekatariat Bersih tanpa waran semata-mata untuk merampas baju T dan risalah Bersih?

Di sebalik semua tindakan polis terhadap penganjur dan penyokong Bersih, apakah salah dengan tuntutan perhimpunan itu? 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sendiri tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap perhimpunan aman Bersih, namun dukacita kerana pendapat badan ini tidak mendapat perhatian kerajaan.   

Ini kerana tuntutan asas Bersih adalah supaya sistem pilihanraya diperbaiki khususnya ketelusan undi pos di samping pembersihan daftar pengundi. 

Sebuah pilihanraya yang adil dan telus akan memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang menang pada PRU akan datang untuk mendabik dada kerana meraih kejayaan yang “bersih” dan tidak mencurigakan. 

Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihanraya, BN akan bermula dengan kelebihan yang begitu besar berasaskan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara ini dan sumber kewangan negara serta kemudahan awam. 

Polis serbu pejabat Bersih, tahan tujuh sukarelawan


Sebahagian sukarelawan Bersih ditahan oleh polis petang tadi. – Foto oleh Jack Ooi



















KUALA LUMPUR, 29 Jun – Polis mengesahkan telah menahan tujuh sukarelawan Bersih ketika serbuan ke atas pejabat sekretariat badan pemantau itu di Petaling Jaya petang ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata seorang lelaki Melayu, seorang lelaki CIna, seorang wanita Melayu, dua wanita Cina dan dua wanita India ditahan.Mereka sedang disoal siasat oleh polis.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan dengan khusus peruntukan yang digunakan untuk menyiasat mereka.

Bakri berkata sebanyak 314 kemeja-T warna kuning, 90 berwarna oren dan 136 lagi dalam warna krim juga dirampas daripada mereka.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata apa sahaja bahan yang digunakan untuk menghasut akan ditahan.

“Bukan sahaja kemeja-T tetapi juga kasut, kereta, bas. Jika bahan-bahan ini digunakan untuk menggalakkan orang untuk berhimpun (secara haram), ini adalah hasutan,” kata beliau.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengisytiharkan kemeja-T yang membawa mesej yang menyokong HImpunan Bersih 2.0 kerana ia berkaitan dengan perhimpunan haram.

Ismail berkata menjadi tugasa polis untuk melindungi masyarakat demi ketenteraman awam dan keselamatan kebangsaan, yang akan terjejas jika Himpunan Bersih 2.0 diadakan.

“Berdasarkan risikan PDRM... jika perhimpunan diadakan, ketegangan, huru-hara, kemusnahan harta, kecederaan dan kehilangan mungkin berlaku,” katanya.

Ismail mendedahkan bahawa sehingga kini 1,830 aduan polis telah dibuat antara 6 dan 28 Jun manakala 101 orang telah ditahan sejak empat hari lalu dengan 45 orang masih ditahan.TMI

Klip Video : Johari Abdul Cabar Papagomo[ Video Inside]


Video sepanjang 2 minit yang didedahkan blog PapaGomo

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mencabar pemilik blog Papagomo supaya menayangkan rakaman video penuh semasa beliau sedang menonton video seks yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang di bilik Hotel Flamingo Mac lalu.

"Saya cabar Papagomo keluarkan klip video penuh yang dirakam semasa saya menonton video seks itu. Jangan setakat dua minit saja kerana pertemuan kami lebih dua jam setengah.

"Sekurang-kurangnya tayanglah klip video selama 32 minit," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, Rabu.

Menurut Johari yang yakin pemilik blog pro kerajaan itu memiliki rakaman penuh klip video beliau sedang menyaksikan video seks kononnya mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama trio Datuk T mahu rakaman audio bekas Menteri Besar Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik didakwa menawarkan wang 'pelincir' sebanyak RM50,000 kepadanya turut didedahkan.

"Saya minta siarkan juga di mana babak Rahim tawarkan duit dan keselamatan serta berjanji membawa saya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri. Dalam klip video itu pasti ada disebut dengan jelas," ujarnya.

Johari yang juga pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengakui menonton video seks bersama trio Datuk T Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Abdul Rahim dan Datuk Shuaib Abdul Lazim yang juga bapa saudara beliau.

Katanya, beliau sudah memaklumkan jemputan itu kepada Anwar dan bersetuju untuk datang atas dasar persahabatan dan hubungan anak saudara kepada Shuaib.

Di dalam paparan klip video terbaru ini, ketiga-tiga mereka kelihatan sedang berjenaka manakala Johari dilihat sedang ketawa dan memperkatakan sesuatu tentang adegan yang terdapat di dalam klip video yang sedang dia saksikan itu.

Bagaimanapun, Johari mengakui beliau bersikap demikian kerana ingin menjaga hubungan persahabatan di antara mereka yang sudah lama terbina, apatah lagi bapa saudaranya juga berada di situ. "Saya dapat rasakan mereka mahu memerangkap saya... sebab itu saya angguk dan senyum. Anda bayangkan saya ada perasaan bahawa ia bukan mengenai Anwar tetapi dosa. "Oleh itu, saya terpanggil untuk menerangkan isu ini kerana klip video selama dua minit itu mendapat pelbagai tafsiran oleh semua pihak," katanya.Mstar

Kerajaan Haramkan Baju Bersih 2.0

PUTRAJAYA, 29 Jun — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kemeja-T yang menyokong Himpunan Bersih 2.0 diharamkan kerana ia ada kaitan dengan perhimpunan haram itu bulan depan.

“Kemeja-T Bersih ada berkaitan dengan perhimpunan haram, maka apa sahaja yang mereka pakai adalah haram,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Hishammuddin tidak mengatakan di bawah undang-undang apa yang soal penjualan, pembelian dan pemakaian kemeja-T itu dianggap haram.

Polis mula menahan mereka yang menjual, membeli atau memakai kemeja-T berwarna kuning yang tertera mesej “Bersih 2.0” sejak minggu lalu.

Ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau juga mengetepikan dakwaan bahawa tindakan polis ke atas mereka yang menyokong perhimpunan 9 Julai ini, menuntut pembaharuan sistem pilihan raya, bermotifkan politik.

“Di pihak mana? Saya boleh bertanya perkara yang sama kepada mereka,” kata beliau.

Naib Presiden Umno ini berkata, tindakan akan diambil ke atas ahli-ahli Pemuda Umno yang mengepung ibu pejabat PKR malam kelmarin, yang didakwa mengugut untuk membakar premis itu.

“Saya memberitahu polis agar melayan mereka macam Bersih. Tiada sesiapa pun bebas daripada undang-undang,” katanya lagi.TMI