Isnin, 6 Jun 2011

Pemilihan Pas : Ulasan DS Anwar [ Video inside ]




SHAH ALAM 6 JUN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan 'kabinet' baru PAS yang dipilih dua hari lalu sebagai mantap dan mampu melakar masa depan yang cerah bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke- 13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

"Kini Pas yang dipimpin Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ditunjangi pula Timbalan Presidennya yang baru Saudara Mohamad Sabu, pastinya mengorak langkah yang lebih jauh bersama Pakatan Rakyat mendepani segala tantangan serta cabaran, terutamanya berhadapan Pilihanraya Umum ke 13 yang kian hampir," kata Anwar dalam blognya.

Sehubungan itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan PAS yang matang dalam menilai dan memilih pucuk pimpinan tanpa dibayangi emosi dan hasad dengki.

"Muktamar kali ini sekali lagi menyaksikan parti tersebut menolak suatu persepakatan politik yang berbaur rasuah serta penyelewengan kuasa pimpinan Umno- Barisan Nasional," kata Anwar.
"Seperti pemilihan sebelumnya, ahli Pas memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh Permuafakatan Pakatan Rakyat, suatu permuafakatan yang zahir dari hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia,"ujarnya.

Anwar berkata, muktamar PAS ke- 57 yang berakhir semalam itu bukan sahaja melabuhkan tirai dengan jayanya bahkan juga mampu mencapai kata sepakat terutama dalam setiap usul yang dibahaskan perwakilan.

Muktamar kali ini yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' sekali lagi meluluskan usul, menolak kesepakatan politik berbaur rasuah serta penyelewengan kuasa pimpinan oleh Umno- Barisan Nasional (BN).

Anwar berkata, PAS sebagai parti yang berpengalaman luas dalam politik memiliki sejarah tersendiri dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat, sejak sebelum merdeka.

Jelas Anwar, perjuangan PAS dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman tidak dapat dipisahkan lagi setelah dipimpin tokoh-tokoh ulama seperti Almarhum Dr Burhanudin al Helmy, Almarhum Zulkifli Muhammad dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Malah ujar Anwar, beliau turut terkesan dengan ucapan dasar yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa tekad dan iltizam hanya untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat.

Pemilihan PAS menyaksikan Mohamad Sabu dipilih menjadi Timbalan Presiden baru parti itu manakala Exco Kerajaan Negeri Kelantan Husam Musa juga menang kerusi Naib Presiden.
Pemilihan itu turut menyaksikan persaingan untuk 18 kerusi jawatankuasa kerja pusat. Datuk Seri Abdul Hadi mengekalkan jawatannya sebagai Presiden apabila menang tanpa bertanding untuk penggal ke lima berturut-turut.TVS

Video : Rakan 'Subahat' Khir Toyo Bebas




SHAH ALAM 6 JUN : Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni daripada tuduhan bersubahat dengan mantan menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berhubung pemilikan dua lot tanah dan banglo di Seksyen 7, di Shah Alam, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Dr Khir diteruskan namun ia ditunda hingga Rabu ini.

Katanya, ini bagi membolehkan pihak pembelaan menerima dan mengkaji dokumentasi terakhir mengenai penemuan terbaru yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Penangguhan itu dibuat oleh pihak pembelaan yang diketuai oleh peguam M Athimulan pada awal perbicaraan bermula pagi tadi apabila dimaklumkan perkembangan terbaru itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai oleh timbalan pendakwa raya Abdul Wahab Mohamed membantah dan berhujah bahawa dakwaan yang dikemukakan tetap sama dan dokumen yang dihantar itu sepatutnya tiba hari ini.

"Meskipun perkembangan baru dalam sesuatu kes bukan asas bagi membuat penangguhan, tetapi kekurangan dokumentasi boleh diterima,” kata Mohtaruddin ketika membenarkan penangguhan itu.

Pada 6 Disember lalu, Dr Mohd Khir didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

ADUN Sungai Panjang itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.TVS

Pengaruh ulama dalam PAS tidak terhakis

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Dewan Ulama tidak sama sekali kecewa dengan keputusan pemilihan pusat PAS, yang disifatkan sebagai penguasaan besar oleh pemimpin kumpulan profesional, kata Ketua Penerangannya PAS Nik Zawawi Nik Salleh( gambar ).
“Tidak, tidak kecewa. Saya (juga) sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama melihat ulama ada peranan (dalam membuat keputusan akhir), ahli jawatankuasa kerja pusat, dia (mereka) ada peranan kepada parti,” kata Nik Zawawi ketika ditemui The Malaysian Insider. “Pemilihan ini tidak (sama sekali) menggambarkan yang kepimpinan ulama diketepikan,” katanya lagi.
Sehubungan itu kata beliau, Dewan Ulama tidak menganggap bahawa peranan kumpulan ulama sudah terhakis ataupun disingkirkan.
“Itu tidak benar. Sebab, ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih melalui suara ramai... ulama ada kelebihan sebab Dewan Ulama seratus peratus pemimpin (berlatarbelakangkan) agama dan begitu juga Majlis Syura Ulama, yang dilihat menentukan perjalanan parti, semuanya ulama,” kata beliau yang turut dicalonkan bertanding jawatan naib presiden tetapi tidak menerima pencalonan.