Isnin, 6 Jun 2011

Pemilihan Pas : Ulasan DS Anwar [ Video inside ]




SHAH ALAM 6 JUN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan 'kabinet' baru PAS yang dipilih dua hari lalu sebagai mantap dan mampu melakar masa depan yang cerah bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum ke- 13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

"Kini Pas yang dipimpin Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ditunjangi pula Timbalan Presidennya yang baru Saudara Mohamad Sabu, pastinya mengorak langkah yang lebih jauh bersama Pakatan Rakyat mendepani segala tantangan serta cabaran, terutamanya berhadapan Pilihanraya Umum ke 13 yang kian hampir," kata Anwar dalam blognya.

Sehubungan itu, Anwar mengucapkan tahniah kepada semua perwakilan PAS yang matang dalam menilai dan memilih pucuk pimpinan tanpa dibayangi emosi dan hasad dengki.

"Muktamar kali ini sekali lagi menyaksikan parti tersebut menolak suatu persepakatan politik yang berbaur rasuah serta penyelewengan kuasa pimpinan Umno- Barisan Nasional," kata Anwar.
"Seperti pemilihan sebelumnya, ahli Pas memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh Permuafakatan Pakatan Rakyat, suatu permuafakatan yang zahir dari hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia,"ujarnya.

Anwar berkata, muktamar PAS ke- 57 yang berakhir semalam itu bukan sahaja melabuhkan tirai dengan jayanya bahkan juga mampu mencapai kata sepakat terutama dalam setiap usul yang dibahaskan perwakilan.

Muktamar kali ini yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' sekali lagi meluluskan usul, menolak kesepakatan politik berbaur rasuah serta penyelewengan kuasa pimpinan oleh Umno- Barisan Nasional (BN).

Anwar berkata, PAS sebagai parti yang berpengalaman luas dalam politik memiliki sejarah tersendiri dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat, sejak sebelum merdeka.

Jelas Anwar, perjuangan PAS dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman tidak dapat dipisahkan lagi setelah dipimpin tokoh-tokoh ulama seperti Almarhum Dr Burhanudin al Helmy, Almarhum Zulkifli Muhammad dan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Malah ujar Anwar, beliau turut terkesan dengan ucapan dasar yang dibuat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa tekad dan iltizam hanya untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat.

Pemilihan PAS menyaksikan Mohamad Sabu dipilih menjadi Timbalan Presiden baru parti itu manakala Exco Kerajaan Negeri Kelantan Husam Musa juga menang kerusi Naib Presiden.
Pemilihan itu turut menyaksikan persaingan untuk 18 kerusi jawatankuasa kerja pusat. Datuk Seri Abdul Hadi mengekalkan jawatannya sebagai Presiden apabila menang tanpa bertanding untuk penggal ke lima berturut-turut.TVS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan