Isnin, 5 Disember 2011

Umno Bersekongkol Dengan MCA Hina Hukum Islam

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa kecewa kerana Umno sanggup menjadikan pentas forum untuk bersekongkol dengan MCA bagi memburukkan Islam dan PAS.
Bahkan dalam forum tersebut yang dianjurkan oleh Institut Analisis Strategik dan Penyeldidikan Dasar (INSAP) semalam, wakil Umno turut ‘tumpang sekaki’ membelasah hukum Islam itu.
“DPP Malaysia khuatir, aqidah beliau dan Umno akan rosak kerana membiarkan agama Islam diperlekeh oleh mereka yang memusuhi Islam,” kata naib ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss kepada Harakahdaily.
DPP Malaysia, katanya tidak sangka wakil Umno iaitu Mohd Kamal Sadin tanpa segan silu mempertikai hukum Allah dan mendakwa hukum Hudud yang digubal oleh kerajaan negeri Kelantan adalah bertentangan dengan hukum Allah.
Jika demikian, ujarnya DPP Malaysia ingin bertanya apakah hukum hudud yang mengikut syariat Islam yang sebenarnya.
“Kemukakan dalil, bukti serta nas yang berkaitan sebagai panduan kepada PAS dan umat Islam mengenai hukum Islam yang sebenar,” katanya.
Tegasnya, DPP Malaysia mencabar Umno untuk kemukakan hukum hudud dengan versi Islam ala- Umno.
“Tunjukkan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam, hukum hudud yang manakah paling menepati syariat Islam untuk PAS dan negeri Kelantan contohi jika hukum hudud yang dibawa oleh Kelantan tidak menepati syariat Islam?” katanya.
Tambahnya, DPP Malaysia percaya kepimpinan dan ahli PAS bahkan seluruh umat Islam di Malaysia ternanti-nanti apakah hukum Islam yang sebenarnya yang akan dibawa oleh Umno, itupun jika mereka masih berfikir mahu melaksanakan Islam.

Namun sehingga ke hari ini, ujarnya tiada usaha sedikitpun oleh Umno untuk melaksanakan hukum Islam, kerana itulah mereka membiarkan sahaja hukum hudud dipersenda.
Bagi mereka, katanya hudud adalah perkara kecil yang tidak penting kepada umat Islam sedangkan hudud yang difahami oleh semua umat Islam, adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan.
“Ia adalah penawar kepada penyakit masyarakat dan ubat bagi melahirkan masyarakat dan negara yang makmur dan diberkati,” katanya.
Beliau berkata, DPP Malaysia memohon campurtangan Majlis Raja-raja bagi mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menghina agama Islam.
Katanya, sebagai payung negara dan umat Islam di negara ini, Majlis Raja-raja berhak campurtangan  bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Selain itu, katanya DPP Malaysia mengharapkan agar umat Islam membuka mata melihat segala kemungkaran yang dilakukan oleh Umno.
Soalnya, apakah ada harapan buat umat Islam di negara ini bernaung di bawah kepemimpinan Umno jika mereka sendiri tiada niat untuk melaksanakan Islam.
“Jika mereka ditakdirkan memerintah buat seribu tahun lagi, Islam tetap bukan pilihan bagi Umno, kerana Islam bukan matlamat perjuangan mereka,” katanya.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan