PETALING JAYA: Sandiwara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad berhubung pinjaman dari Bank Dunia pada sekitar tahun 1999
sudah terbongkar walaupun selama ini beliau menafikannya.
Selama ini, Mahathir menyalahkan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar
Ibrahim kononnya beliau adalah alat kepada Bank Dunia dan Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF).
Laman web Bank Dunia mendedahkan bahawa Malaysia membuat pinjaman
sebanyak tiga kali pada tahun 1999 dan sekali pada 1998 yang berjumlah
AS$400 juta dan pinjamam itu dibuat setelah Anwar dipecat dari kabinet.
Pinjaman Mac 1999 itu atas nama projek “Malaysia Education Sector Support Project”, “Malaysia Social Sector Support Project” dan
“Malaysia Year 2000 Technical Assistance Project” manakala pada 18
Jun 1998 bagi projek “Malaysia Economic Recovery and Social Sector
Loan”.
Tuduhan terhadap Anwar direkayasa semenjak tahun 1998 lagi lantaran
komitmen beliau dalam memastikan disiplin pengurusan kewangan negara
yang berteraskan tatakelola dan pertanggungjawaban, demikian menurut
satu kenyataan dari pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Kata kenyataan itu, Anwar bertegas menolak preskripsi ekonomi yang
mahu menyelamatkan kroni dan elit politik ekonomi sedangkan rakyat
perit berhadapan krisis ekonomi 1997/98.
Lantaran ketegasan beliau inilah Mahathir sebagai perdana menteri
ketika itu merasakan perlu menyingkirkan beliau dari tampuk kepimpinan
negara, kata kenyataan itu lagi.
Setelah lebih dari satu dekad fitnah terhadap Anwar dan keluarga beliau masih diteruskan oleh pimpinan Umno serta juak mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, rakyat Malaysia tidak mudah lupa
bagaimana Mahathir bersekongkol dengan Jack Abramoff dalam usaha beliau
melobi untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush.
Malah menurut rekod Bank Dunia, selepas Anwar dipecat, Malaysia masih
menerima bantuan Bank Dunia sedangkan di hadapan khalayak tanpa segan
silu mantan Perdana Menteri itu semberono memfitnah Anwar sebagai
perkakas Bank Dunia sekaligus agen Barat.
Mahathir cari alasan
Mahathir cari alasan
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu
Mahathir sekarang terkedu dan terdesak dan sedang cuba mencari alasan
untuk mengalih pandangan rakyat dari isu beliau meminjam wang dari Bank
Dunia pada tahun 1999.
“Rekod yang mengatakan beliau melakukan pinjaman didedahkan oleh
laman web Bank Dunia dan sekarang Mahathir memikirkan cara terbaik
untuk menutup pembohongan beliau iaitu memfitnah Anwar yang merupakan
Menteri Kewangan ketika itu.
“Kenapa beliau takut dan kalau betul baik mengaku sahaja jangan
melepaskan apa yang beliau lakukan kepada orang lain,” katanya kepada
harakahdaily.
Tambahnya pendedahan pinjaman itu menunjukkan ianya berlaku pada
tahun 1999 iaitu selepas Anwar dipecat sebagai Menteri Kewangan dan
juga Timbalan Perdana Menteri.
“Dulu beliau cuba tunjukkan dirinya sebagai ‘hero’ yang tidak akan
tunduk kepada Bank Dunia yang bersikap ‘kapitalis’. Tetapi sekarang
segalanya terbukti bahawa Mahathir diwaktu siang beliau bermusuh dengan
Bank Dunia tetapi malam menjadi teman perbualan telefon.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, rakyat sendiri
boleh melihat sikap berpura-puraan dan berbohong Mahathir hanya untuk
kepentingan sendiri.
Katanya, dalam isu itu Mahathir yang sepatutnya perlu bersumpah bukan Anwar, dan seluruh rakyat sedang menunggunya.FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan