SHAH ALAM, 11 Dis — PAS menafikan laporan Mingguan Malaysia
hari ini bahawa Datuk Dr Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa telah
digugurkan daripada bertanding semula dalam pilihan raya umum ke-13.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, partinya belum memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding kali ini.
“Isu calon belum dibawa lagi. Kami tidak tahu bila pilihan raya umum akan diadakan. Tunggu hingga hari penamaan calon.
“Tidak benar, tidak benar. Kami belum melihat lagi senarai calon,”
kata Hadi selepas melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan: Tawaran PAS
di sini hari ini.
Laporan akhbar pro-Umno itu berkata Hasan yang juga Exco Hal Ehwal
Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
Selangor, akan digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya umum.
Sumber-sumber mengesahkan bahawa nama Ahli Dewan Undangan Negeri
Gombak Setia itu telah ‘disingkirkan’ oleh PAS Selangor dan direstui
kepimpinan pusat.
Menurut laporan akhbar itu, PAS pusat turut menggugurkan beberapa
pemimpin yang selama ini tidak disenangi oleh kumpulan pro-Datuk Seri
Anwar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Erdogan dan antaranya
Nasharuddin yang merupakan bekas timbalan presiden parti.
Pada 2008, Nasharudin bertanding di kerusi Parlimen di Kelantan.
Kata akhbar itu, pengguguran Hasan sebagai calon PAS pada pilihan
raya umum sememangnya telah dijangka dan ia hangat diperbincangkan di
blog-blog tempatan.
Ia berikutan kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Shaari Sungib
yang dipaparkan dalam beberapa blog bahawa kemungkinan besar Hasan akan
digugurkan daripada menjadi calon parti itu.
Shaari memberi alasan bahawa Hasan tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dari setiap cawangan.
Ketika diminta mengulas isu yang sama, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menolak penjelasan Shaari.
“Kami tidak tahu sama ada kami akan dicalonkan ataupun sebaliknya (di peringkat bahagian),” kata beliau.
Mohamad juga enggan mengulas isu berkenaan pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan Rakyat.
“Masih di peringkat akhir perbincangan,” katanya lagi.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan