KUALALUMPUR, 22 Dis: PAS
hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk
Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan
Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan
berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir
masa parti.
“Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu
membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap
sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah
pihak menerima keputusan parti dan jamaah,” kata Ketua Penerangan PAS
Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan
Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari
dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.
“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.
Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini
daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza
pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,”
tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu dipercayai membalas kenyataan Hasan
yang mempertikai dasar-dasar parti yang diputuskan muktamar dan Majlis
Syura.
Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga
ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara
Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini.
Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS.
Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah
sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah
keputusan individu tapi keputusan jamaah.
“Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan
bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS
perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat
yang disasarkan dan memenangkan Islam,” tegas beliau.
Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS
kepada ungkapan ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan
datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.
“Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan
kepentingan individu dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk
memenangkan parti,” nasihat beliau.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan