Asri berkata kenyataan Hasan “amat tidak wajar bagi seorang Exco kerajaan yang hidup di zaman teknologi.” — Foto fail
KUALA LUMPUR, 18 Nov — Kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali bahawa umat Islam boleh murtad disebabkan sebaran agama Kristian menggunakan kitab Injil berteknologi canggih adalah satu penghinaan ke atas Muslim, tegas bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Jika benar
laporan media, saya rasa kenyataan itu satu penghinaan kepada
masyarakat Islam di Malaysia dan boleh menjadi satu tindakan kempen
tidak langsung tentang ‘the power of reading the Bible’ seperti yang
ditonjolkan oleh sesetengah pihak,” kata beliau dalam satu kenyataan
dihantar kepada The Malaysian Insider hari ini.
Felow
Pusat Pengajian Islam Oxford ini berkata di Malaysia, al-Quran
dikumandangkan menerusi pembesar suara, TV, radio, majlis-majlis
kerajaan dan lain-lain, tetapi tidak pula dihebohkan bukan Muslim
menganut Islam kerana terdengar bacaan al-Quran setiap hari.
Sebaliknya
kata beliau, tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian
kerana mendapat alat kecil yang membaca kitab Injil — “solar-powered
talking bible”.
“Alangkah
hinanya umat Islam dan agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian
lama mendengar al-Quran, terus berubah kerana terdengar atau mendengar
bacaan Injil. Tindakan ini seakan kuasa ataupun pengaruh kitab Injil
mengatasi al-Quran,” kata beliau lagi.
Semalam, The Malaysian Insider
membawa laporan memetik jawapan bertulis Hasan kepada Ahli Dewan
Undangan Negeri Umno kerusi Sungai Burong Datuk Mohamad Shamsudin Lias
bahawa ada sesetengah gereja di negara ini cuba memurtadkan umat Islam
dengan alat-alat canggih seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar.
Hasan
berkata penganjut Kristian Evangelis menggunakan peralatan canggih
seperti kitab Injil menggunakan kuasa solar untuk memurtadkan umat
Islam di Selangor.
Pengerusi
jawatankuasa yang mengetuai hal ehwal agama Islam ini berkata Jabatan
Agama Islam Selangor (Jais) telah mengesan mubaligh Kristian kini
menyebarkan kepercayaan mereka menggunakan alat-alat canggih, selain
mengadakan kumpulan-kumpulan kebajikan menyediakan wang tunai dan
bantuan kewangan lain kepada golongan ibu tunggal dan miskin.
Ia
merupakan pendedahan terbaru di sebalik kontroversi berkaitan Gereja
Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya dan Jais awal Ogos lalu.
Dalam
reaksinya, Asri berkata, “bagi saya, maaf terpaksa katakan bahawa
kenyataan itu juga sesuatu yang amat tidak wajar bagi seorang Exco
kerajaan yang hidup di zaman teknologi.”
“Hari
ini segala bacaan sama ada al-Quran ataupun Injil boleh didapati di
Internet. Pelbagai peralatan, sama ada komputer ataupun selainnya boleh
melakukan ‘download’ semua bacaan ini. Tidak perlu untuk bersembunyi
mendapat atau mendengarnya,” katanya lagi.
Asri
menambah, beliau berpendapat bahawa kenyataan Hasan tanpa disedari
boleh menjadi kempen mendengar kitab Injil yang sebelum ini tidak ramai
yang mengambil kisah.
“Itu pun bukan satu kesalahan. Dunia tidak tertutup. Setiap yang mendengar dan menilai akan dapat menemui kebenaran yang hakiki.
“Peranan
golongan agama di era ini, bukan menghalang tetapi berhujah dan
menerangkan apa yang diyakini secara matang,” katanya lagi.
Kata
Asri lagi, jika benar seperti yang didakwa, ada pihak Kristian yang
menyebarkan alatan itu secara percuma dan bantuan lain lagi kepada
saudara-saudara Muslim, “maka saya mencadangkan beliau kena mengerahkan
Jais membuat kerja yang lebih bermanfaat dengan menyebarkan secara
percuma alatan yang sama atau lebih canggih yang mengandungi ayat
al-Quran dan terjemahannya.”
“Juga
mengandungi ucapan-ucapan dakwah kepada Islam secara hikmah dan
bijaksana. Jais boleh pastikan dulu alat itu ‘mendapat tauliah’ supaya
alat itu tidak ditangkap atau dirampas,” katanya yang akhir 2009
dikenakan tuduhan oleh Jais berhubung isu menyampaikan kuliah agama
tanpa tauliah.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan