KUALA LUMPUR, 22 Okt — Peguam PAS Mohamed Hanipa Maidin mencabar jika
Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar-Baru Zulkifli Noordin, yang menimbulkan
aspek berkaitan dengan peruntukan liwat dalam hukum hudud yang digubal
kerajaan negeri Terengganu pada 2002, jika jujur sepatutnya mengkritik
“hudud Umno” di Wilayah Persekutuan.
Menurut Hanipa, dalam undang-undang yang digubal kerajaan pusat —
yang dilabelnya sebagai “undang-undang Umno” — di Wilayah Persekutuan,
liwat hanya “salah jika lelaki meliwat lelaki yang lain.”
“Berdasarkan tafsiran liwat di Seksyen 2 Akta Kesalahan Jenayah
Syariah Wilayah Persekutuan adalah jelas bahawa seorang yang sama ada
meliwat seorang perempuan yang lain atau meliwat isterinya tidak dikira
melakukan apa-apa kesalahan di Wilayah Persekutuan jauh sekali akan
dihukum.
“Renungan kepada Zulkifli Nordin - undang-undang mana yang lebih melindungi wanita?” kata beliau dalam entri blognya.
Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib berkata dakwaan
Zulkifli berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam
hukum yang berkaitan syarak.
Harun berkata, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.
Menurut Harun, liwat di antara suami isteri tidak termasuk dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.
Jelas beliau, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam
hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.
Hanipa menulis ekoran isu yang dibangkitkan oleh Zulkifli di Dewan
Rakyat kelmarin, antara lain menurutnya, wakil rakyat itu menuduh hukum
hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat
isteri.
Katanya, tuduhan tersebut dibuat dengan kononnya dirujuk kepada draf
dan Enakmen Hudud dan Qisas Terenggganu 2002 yang diluluskan pada
persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika PAS memerintah
negeri itu.
Kerajaan negeri Kelantan pula menggubal enakmen yang sama pada 1993.
Polemik baru ini muncul ketika timbul semula kontroversi pelaksanaan
hukum hudud di Kelantan. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat terus melahirkan hasrat mahu melaksanakan undang-undang itu di
Kelantan.
“Menurut beliau (Zulkifli) berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut
yang menerangkan tentang liwat yang dimaksudkan dengan seseorang lelaki
memasukkan zakarnya ke dalam dubur seseorang lelaki atau perempuan,
kecuali isteri. Katanya, perkataan kecuali dengan isteri itu jelas
membawa maksud seseorang suami boleh memasukkan zakarnya ke dalam dubur
isterinya kerana ia tidak dimaksudkan meliwat,” tulis Hanipa.
Beliau seterusnya berkata adalah sesuatu yang malang bagi profesion
guaman negara ini mempunyai seorang peguam yang nampaknya tidak memahami
perkara asas dalam penafsiran undang-undang.
Kata Hanipa, daripada kenyataan Zulkifli nampaknya beliau terlibat
dengan politik murahan yang hanya sekadar untuk menimbulkan keraguan
terhadap perkara yang jelas dan tiada keraguan.
Katanya, hujah beliau yang mengatakan bahawa Seksyen 14 Enakmen
Jenayah Syariah Terengganu bercanggah dengan Islam kerana tidak
menganggap perbuatan meliwat isteri sebagai satu kesalahan boleh dengan
mudah dipatahkan dengan beberapa alasan.
Kata Hanipa, Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Terengganu secara
jelas memperuntukkan “liwat ialah satu kesalahan yang merupakan
persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain
atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada
isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.
“Jika dilihat kepada Seksyen 14 tersebut terdapat dua kesalahan yang
boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan liwat iaitu hubungan seks
melalui dubur antara lelaki dan lelaki dan hubungan seks melalui dubur
antara lelaki dan wanita selain daripada isteri lelaki tersebut.
“Seksyen 15 enakmen yang sama memperuntukkan ‘sesiapa melakukan
kesalahan liwat hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang
ditetapkan bagi zina,” katanya lagi.
Menurut Hanipa, hukuman zina adalah 100 rotan bagi pesalah zina yang ghayru muhsan dan rejam sehingga mati bagi yang muhsan.
“Zulkifli menyatakan bahawa berdasarkan Seksyen 14 enakmen tersebut
seorang yang meliwat isteri tidak melakukan kesalahan. Beliau berhujah
bersandarkan frasa ‘selain daripada isterinya’ suami yang meliwat isteri
terlepas dari hukuman hadd,” kata beliau sambil menambah, hujah itu
memperlihatkan bahawa beliau tidak memahami perbezaan asas antara hudud
dan takzir.
“Seksyen 14 bercakap tentang hudud. Seorang suami yang meliwat
isterinya bukan tidak bersalah. Ia tetap salah. Cumanya kesalahan itu
tidak boleh dikenakan hukuman hudud. Mungkin Zulkilfli bertanya kenapa
tidak boleh kena hukum hudud?” katanya lagi.
“Jawapannya sepertimana yang dikatakan oleh Abdul Kadir Audah dalam
bukunya yang terkenal ‘Tasyri’ Janaie’ terdapat keraguan sama ada isteri
yang dinikahi secara sah oleh lelaki boleh dikenakan hukuman hadd hanya
kerana ia ‘mengguna pakai hartanya’ mengikut kehendaknya. Dan, prinsip
yang terpakai dalam hukum hudud adalah keraguan membatalkan hukuman
hadd.
“Zulkifli mungkin bertanya adakah ini bermakna seorang suami yang
meliwat isterinya akan terlepas hukuman? Jawapan kepada soalan tersebut
adalah tidak. Suami yang meliwat isteri masih boleh dihukum tetapi bukan
dengan hukuman hudud sebaliknya beliau hanya boleh dihukum oleh hukuman
takzir,” kata Hanipa lagi.
Jelas beliau, jika Zulkifli cermat dan tidak tergopoh-gapah membaca
keseluruhan enakmen tersebut beliau akan pasti dapat melihat Seksyen 3
enakmen yang sama, yang menyatakan secara jelas, “dengan syarat bahawa
apabila sesuatu kesalahan hudud atau qisas tidak boleh dihukum dengan
hukuman hudud atau hukuman qisas kerana tidak dapat memenuhi
syarat-syarat yang dikehendaki bagi hukuman-hukuman itu, maka kesalahan
itu adalah menjadi suatu kesalahan takzir dan hendaklah ia dihukumkan
demikian.”
“Seksyen 3 enakmen tersebut sekali gus menjawab segala kekeliruan
yang Zulkifli cuba timbulkan. Seksyen 3 menunjukkan bahawa liwat ke atas
isteri tetap salah menurut enakmen yang PAS gubal tetapi ia bukan
kesalahan hudud sebaliknya ia hanya satu kesalahan takzir. Dan, Zulkifli
juga kena faham hukum takzir tidak semestinya lebih ringan dari hukuman
hudud,” katanya lagi.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan