Khamis, 22 September 2011

Siapa Karut Mat Sabu Atau Zainal Kling ?


 Oleh Subky Latif

MAT Sabu menyarankan supaya sejarah ditulis semula disebabkan oleh sejarah kemerdekaan tidak  ditulis dengan betul. Maka sekalian penyokong kerajaan mengira Mat Sabu mengarut.

Dalam reaksinya atas kontroversi Mat Sabu itu, Prof. Zainal Kling, jika di barat dipanggil Prof.  Kling saja berpendapat Tanah Melayu tidak pernah dijajah British. Pro Mat Sabu pula mengiranya karut juga.

Saranan Prof. Kling  disukai oleh Tun Dr. Mahathir. Prof. Khoo Kay Kim rasanya tertarik dengan saranan itu. Prof. Ramlah Adam pula tidak menyanggahnya.

Kesemua mereka tidak suka dengan saranan Mat Sabu; tidak tertarik supaya sejarah itu ditulis semula. Tetapi sedarkah kita saranan Zainal Kling itu telah membantu menguatkan saranan Mat Sabu supaya sejarah negara kita ditulis semula.

Saranan Zainal Kling bercanggah dengan isi sejarah yang sudah ditulis. Semua buku sejarah yang diguna di sekolah rendah, menengah dan universiti mengatakan Tanah Melayu pernah dijajah.

Semua orang baik jadi ahli politik pro kerajaan dan pembangkang, yang tidak terlibat dengan politik, buta huruf dan berpelajaran, sebelum dan selepas 31 Ogos 1957 merasakan Inggeris pernah menjajah negara mereka.

Bagi ketua sekalian profesor itu sejarah yang diketahui oleh semua orang adalah tidak betul.

Mat Sabu kata, penulisan sejarah saja yang  tidak betul. Dia tidak kata sejarah yang melibatkan British itu tidak betul. Maka menganjurkan supaya sejarah bertulis itu dibetulkan. Prof. Kling tak suruh sejarah itu ditulis semula tetapi padanya sejarah yang difaham oleh semua orang itu adalah tidak betul.

Persoalannya adakah hendak dibiarkan ia tidak betul dan adakah hendak diajar juga yang dikatakan tidak betul itu kepada murid-murid dan orang ramai?

Ini telah menjadikan semua orang bercelaru dan keliru tentang sejarah yang diketahui itu dan sejarah yang ada itu juga bercelaru dan mengelirukan.

Justeru itu saranan Mat Sabu supaya ditulis semula sejarah sudah payah ditolak.

Jika sejarah itu tidak ditulis semula, orang sudah tidak tahu apakah sejarah yang diajar itu boleh dipakai atau tidak, sedang di bawah dasar yang ditentukan oleh menteri pelajaran sekarang Tan Sri Muhyidin Yasin, sejarah adalah mata pelajaran teras yang wajib lulus.

Adakah hendak ajar yang Mat Sabu kata tidak tepat dan Zainal Kling kata tidak betul?

Kesimpulannya buku sejarah itu kena buat yang baru. Nilai semula mana yang betul dan mana yang diselewengkan.

Antara yang kena jelaskan macam mana sebelum merdeka dulu Semenajung Tanah Melayu boleh ditukar menjadi Malaya. Sebelum datang ke Tanah Melayu, semua peta dunia menamakan negara kita ini Semenanjung Tanah Melayu. Buku sejarah dunia pun mengenalinya Semenanjung Tanah Melayu.

Selepas British datang ia ditukar menjadi Malaya. Buku sejarah dunia dan peta dunia pun memanggilnya Malaya. Universiti yang pertama ditubuhkan sebelum merdeka dulu dinamakan Universiti Malaya atau Univercity of Malaya. Hingga sekarang nama itu dikekalkan.

Siapa yang menamakannya Malaya? Inggeriskah atau Raja-Raja.

Jika Inggeris datang untuk berkhidmat kepada para Sultan, mengapa orang Inggeris tidak guna bahasa yang dipakai oleh Sultan dan yang digunakan oleh orang Melayu? Mengapa digunakan dalam pentadbiran dan urusan  rasmi dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa yang tidak difahami oleh rakyat dan tidak juga diketahui oleh para Sultan?

Bila sekolah diadakan, sekolah Melayu ada setakat darjah enam saja, tetapi sekolah Inggeris sampai darjah sembilan. Kalau Inggeris itu datang untuk berkhidmat saja bagaimana mereka ada kuasa menukarkan sesetengah sultan.

Sebelum Inggeris datang ke Perak, Perak sudah ada sultan. Bila ia datang ia boleh tukar sultan itu dengan Sultan Abdullah. Bila ada masalah dengan Sultan Abdullah dibuangnya Sultan Abdullah ke pulau di tengah laut dekat Afrika dan digantinya sultan baru.
Bila Inggeris datang semula selepas Jepun kalah, ditukarnya Sultan Selangor dengan yang baru dan Sultan Terengganu pun digantikannya dengan yang lain.

Kalau sekadar hendak menolong sultan, masakan sampai boleh menukar sultan.

Tentang bahasa pula, hingga hari ini Bahasa Melayu belum boleh menggantikan bahasa  Inggeris gara-gara adanya kuasa Inggeris sebelum merdeka dulu.

Apa hendak kita tentang sejarah seperti itu?

Dan kalau yang dijajah Inggeris itu sekadar Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, mengapa perjuangan kemerdekaan itu dituntut oleh orang Perak, Kedah, Selangor, Kelantan, Johor, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Perlis.

Tuntut merdeka untuk Pulau Pinang dan Melaka sajalah! Sepatutnya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu tidak diisytiharkan di Kuala Lumpur. Proklamirkan di Melaka dan di Pulau Pinang saja, tidak perlu libatkan negei lain di Semenanjung.

Zainal Kling tentu setuju. Kalau dia tidak setuju, dialah yang karut. Bukan Mat Sabu.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan