Jumaat, 16 September 2011

Perutusan Presiden Pas Sempena Hari Malaysia

Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan