Ahad, 14 Ogos 2011

Peserta Bersih 2.0 Diupah ?? Kenyataan Bodoh Rais Yatim Diselar !!!


SHAH ALAM 14 OGOS : Kenyataan dangkal Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berhubung upah RM50 kepada peserta himpunan Bersih 2.0 diselar ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Sambil menyifatkan Rais sudah kehabisan modal dalam menyatakan pendiriannya, Mahfuz turut memberi amaran kepada Rais agar tidak menyamakan peserta himpunan Bersih 2.0 dengan mereka-mereka yang perlu disogok untuk melakukan sesuatu.

"Dia (Rais) anggap semua orang sama macam dalam Umno, nak buat sesuatu itu mesti dengan bayaran, nak pergi mana pun dengan bayaran. Jadi inilah budaya dalam Umno selama ini bahawa majlis keraian, menyambut pimpinan mereka boleh ramai kerana diberikan duit, diangkut dengan bas.

"Rais tak boleh berfikir luar daripada kotak pemikiran Umno.Kalau Umno berjaya menghimpunkan orang dengan duit, jadi orang lain pun hanya akan buat dengan duit,kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Rais semalam mendakwa ada peserta himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu diupah RM50 setiap seorang untuk memakai baju kuning, malah mendakwa mereka juga diberi makanan untuk berbuat demikian.

Rais juga membuat kesimpulannya sendiri dengan menyatakan bahawa sebilangan rakyat yang menyertai himpunan itu bukan bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bermatlamat politik.

Malah beliau turut mengaitkan himpunan aman di negara ini dengan rusuhan di London.

"Adakah mereka (Umno) nak katakan bahawa kalau (rakyat) Malaysia yang keluar Bersih itu dibayar dengan duit, (jadi) adakah mereka nak katakan mereka yang keluar buat rusuhan (London) dibayar dengan duit?

"Hampir 100,000 orang yang hadir di Kuala Lumpur tapi tidak ada rusuhan, sebaliknya yang merusuh adalah pihak polis. Pihak keselamatan yang merusuh peserta perhimpunan, yang datang dengan penuh kesopanan,"sanggah Mahfuz terhadap pendirian Rais.

Tambah Mahfuz, Rais dan parti pemerintah hakikatnya harus akur bahawa punca kebangkitan rakyat adalah rentetan pelbagai masalah yang dihadapi mereka termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak setara dengan gaji mereka.
"Apapun dia (Rais) mengatakan punca demonstrasi tu menunjukkan bahawa dia perlu mengakui bahawa rakyat negara kita ini berhadapan dengan masalah yang besar. Kalau dia kata tekanan hidup, bermakna rakyat tertekan dengan kos hidup kerana ketidakadilan dalam pelaksanaan pemerintah negara kita ini,"katanya.
Pada 9 Julai lalu ribuan rakyat Malaysia menongkah ledakan gas pemedih mata dan pancutan air kimia demi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam perhimpunan itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk kepimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Ia nyata sekali berbeza dengan apa yang berlaku di London pada 4 Ogos lalu apabila ribuan rakyatnya memprotes kematian seorang lelaki akibat tembakan polis di Tottenham, utara London.

Keesokan harinya, beberapa pemuda bertopeng memulakan rusuhan, merosak dan membakar kedai.

Kejadian itu merebak ke bahagian lain di London seperti Croydon dan Bayswater sebelum merebak ke arah Utara England dengan kejadian sama dilapor di Birmingham, Liverpool dan beberapa tempat lain.TVS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan