KUALA LUMPUR, 18 Ogos – PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan
tindakan Jabatana Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di
Petaling Jaya, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi
penguatkuasaan agama itu.
Pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan
tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama
negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.
Menjawab pendirian Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Pesuruhjaya
PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada
pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi
mempersoalkan kuasa Sultan Selangor.
“Dalam Islam yang kita tidak boleh pertikaikan adalah al-Quran dan
sunah, itu tidak boleh pertikai... satu ayat pun kita tidak boleh
pertikai, kalau kita pertikai akidah kita boleh terjejas.
“Jadi dalam isu Jais ini, kita tidak pertikaikan pun cuma kita nak
dengar penjelasan... apa salahnya? Islam adalah agama hujah, hujah atas
fakta dan dalam isu ini kita bukan pertikai tapi mahukan penjelasan,”
katanya kepada The Malaysian Insider.
Tegas beliau, PAS tidak akan berkompromi sekiranya benar wujud
kegiatan memurtadkan umat Islam pada majlis makan malam muhibah anjuran
Harapan Komuniti di Gereja Methodist Damansara Utama.
“Kalau betul ada usaha untuk memurtadkan umat Islam, kita akan sokong (tindakan).
“Apa salahnya kalau kita mahukan penjelasan, kita bukan pertikai,
cuma nak jawapan mengenai apa yang berlaku... sebab itu kita bercadang
mahu mengadakan pertemuan dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara
Utama,” katanya sambil menambah, kontroversi semasa ini boleh
diselesaikan tanpa melibatkan Sultan Selangor.
Tambah Abdul Rani: “Kalau boleh selesaikan di (peringkat) bawah, tidak perlu dibawa ke Sultan Selangor.”
Pagi ini, The Malaysian Insider membawa laporan, Pengerusi Mais Datuk
Mohd Adzib Isa menegaskan, mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan
Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama secara tidak langsung
tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.
Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri
Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa
Sultan Selangor.
“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi
strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di
bawah Mais.
“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri
Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.
Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais
yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja
Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan
banyak pihak.
Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan
yang timbul berikutan dokumen-dokumen sulit berkaitan pemeriksaan ke
atas Gereja Methodist Damansara Utama terbongkar.
Tegas beliau, sepatutnya dokumen-dokumen sulit itu termasuk rakaman video tidak didedahkan sehingga hasil siasatan selesai.
“Saya lihat tiada siapa yang pertikai tindakan Jais, apa yang menjadi
tanda tanya adalah siasatan masih belum selesai, tetapi bukti-bukti dan
dokumen sudah tersebar di blog-blog.
“Sepatutnya ia menjadi rahsia dan bila ini terjadi timbul tanda tanya
siapa yang keluarkan bahan bukti ini... kalau timbul persoalan ini,
kita tidak boleh salahkan rakyat,” katanya.
Jelas Tuan Ibrahim, walaupun Jais terletak di bawah bidang kuasa
Sultan Selangor tetapi agensi itu masih terikat di bawah pentadbiran
kerajaan negeri Selangor.
“Jais juga terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk di bawah Exco.
“Tindakan Jais ini melibatkan kepentingan orang ramai, kita bukan
pertikai bidang kuasa tapi penguatkuasaan itu kadang-kadang timbul tanda
tanya. Apa yang dipertikaikan penguatkuasaan Jais bukan kuasa Sultan
Selangor dan kalau kita lihat tindakan yang diambil (Jais) itu
kadang-kadang juga berat sebelah,” katanya.
Tambah beliau, semua pihak sedar Jais terletak di bawah bidang kuasa Sultan Selangor dan ia tidak pernah dipertikaikan.
“Rakyat juga tidak pertikai Sultan Selangor, tidak timbul soal
pertikai Sultan Selangor... kita memahami bidang kuasa Sultan Selangor.
“Tapi kita tidak boleh membuat tindakan yang kemudian diletakkan di bawah Sultan Selangor,” katanya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, apa yang
dipertikaikan bukan tindak Jais, tapi penglibatan Umno dalam pemeriksaan
ke atas premis gereja seperti mana yang didakwa Setiausaha Agung Datuk
Mustafa Ali.
“Siapa yang pertikai Jais? Kita kata kalau ada bukti memurtadkan umat
Islam ambil tindakan dan kita bimbang pemeriksaan itu dibuat tidak ikut
peraturan semata-mata untuk penuhi kepentingan politik Umno.
“Apa yang kita persoalkan penglibatan Umno dalam mencaturkan tindakan Jais itu,” katanya.
Mustafa mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan
oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.
Beliau turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan
isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil
siasatan mereka ke atas gereja itu.
Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.
Benarkah kini PAS telah mengangkat perjuangan politik lebih daripada segalanya apabila persoalan berhubung akidah dan syiar Islam pun dipinggirkan demi hanya untuk undi dan pilihanraya?
BalasPadam