Jumaat, 5 Ogos 2011

Exco Kedah terima surat ugutan berisi peluru

KULIM: Anggota Exco Kedah Lim Soo Nee menerima kejutan hari ini apabila menemui sepucuk surat mengandungi nota ugutan dan sebutir peluru di pejabatnya, di Taman Kemuning di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata anggota dewan undangan negeri (Adun) kawasan Kulim itu, menemui surat tersebut di atas tangga menuju ke pejabatnya kira-kira 9.45 pagi tadi.

“Lim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan ketika itu mahu naik ke pejabatnya di tingkat atas bangunan dua tingkat dan menemui sampul surat yang tertulis ‘kepada Adun’ di
atas tangga.

Tidak puas hati


“Beliau kemudian mengambil surat itu lalu membawanya ke pejabat sebelum membuka dan menemui nota serta peluru tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Ghuzlan berkata nota itu antara lain mengandungi rasa tidak puas hati terhadap dua pembantu Lim yang menerima anugerah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Kedah baru-baru ini.

Pihak terbabit juga mengugut Lim agar tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Ghuzlan.

Beliau berkata polis kini mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam penghantaran surat ugutan tersebut.

Kedua-dua lelaki berkenaan dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di pejabat Adun berkenaan, katanya.FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan