Rabu, 20 Julai 2011

UiTM Tidak Cadang Anugerah Ibrahim Ali

PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) tidak bercadang untuk mewujudkan 'Anugerah Ibrahim Ali' kepada para pelajarnya.
Kata Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengarah dan Senat universiti berkenaan, UiTM tidak boleh sewenang-wenangnya menerima atau mencadangkan anugerah seumpama itu.
Malah beliau berkata, universiti itu tidak pernah mencadangkan sebarang anugerah menggunakan nama pemimpin tertentu seperti yang dihebahkan melalui laman web Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) - salah satu jabatan di bawah universiti berkenaan.
Sebaliknya Profesor Sahol berkata, wujud salah faham mengenai hebahan berkenaan apabila ia dibuat tanpa melalui proses dan prosedur yang ditetapkan.
"Anugerah itu dicadangkan oleh Datuk Ibrahim Ali sendiri tetapi sebelum anugerah boleh diberi, perlu dibawa ke Senat dan lembaga. Namun mereka terlepas pandang kerana ada jabatan yang buat hebahan melalui web.
"UiTM prihatin tentang keadaan semasa dan tidak akan terima anugerah tersebut tanpa kelulusan Senat dan Lembaga Pengarah," kata Profesor Sahol yang dipetik menerusi akaun facebook peribadinya di sini, Rabu.
Beliau mengulas mengenai pandangan beberapa pihak berhubung cadangan pemberian Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.
Anugerah berkenaan diilhamkan oleh Ibrahim sendiri dan hadiahnya juga akan ditaja oleh beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Ibrahim yang kini Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas) adalah graduan UiTM. Beliau menuntut di universiti itu dari tahun 1971 hingga 1974.
Menjelas lanjut mengenai proses mewujudkan sesuatu anugerah, Profesor Sahol berkata, cadangan itu jika mempunyai merit, perlu dibahaskan oleh badan bebas yang dianggotai oleh sekumpulan profesor, dekan dan rektor kampus.
"Prosesnya bukan mudah dan mengambil masa. Di senat ada 60 profesor, dekan dan rektor kampus. Masing-masing bertindak secara individu, tidak ada proses melobi atau paksaan kerana ia satu badan yang kuat dan bebas di UiTM.
"Senat UiTM tahu apa yang terbaik dan apa nama anugerah yg perlu dicadangkan," katanya.Mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan