SHAH
ALAM 31 JULAI : Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Dr Dzulkefly Ahmad
menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menjadi
“liabiliti paling besar” kepada Umno menjelang pilihan raya umum ke-13
nanti.
Katanya, ini kerana kegagalan Najib
dalam menangani beberapa isu penting termasuk himpunan Bersih 2.0 dan
yang terbaru penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di
bawah Ordinan Darurat.
Justeru itu, Najib kini terpaksa mencari “talian hayat” dengan menggunakan apa sahaja cara untuk terus kekal berkuasa.
“Mengapa
Umno terpaksa singkirkan Najib? Sebabnya banyak dan terus menonjol.
Pendeknya, Najib telah menjadi liabiliti paling besar buat Umno di
ambang pilihan raya umum ke-13 ini.
“Beliau
(Najib) telah menjadi seumpama Tun (Abdullah Ahmad Badawi) cuma dalam
masa yang jauh lebih singkat, bagi sebuah parti yang penting ialah
survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa,” katanya.
Jelas
Dr Dzulkefly, dalam tempoh tiga tahun memerintah negara Najib telah
melakukan banyak perkara demi memperoleh semula kepercayaan rakyat,
namun usaha itu ternyata sia-sia.
“Tempoh tiga
tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau
punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat
dan pengundi, malah beliau telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada
soalan pandangan awam sehingga sanggup mengungkapkankan bahawa era
kerajaan tahu semua telah berlalu.
“Ketika itu
kononnya beliau sanggup mendengar rakyat. Najib cuba perbaiki imej
partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh dengan mantranya ‘Rakyat di
dahulukan, pencapaian diutamakan’, kesemua itu adalah cubaan gigih
Najib untuk baik pulih persepsi (rakyat) terhadap partinya,” katanya
sambil menambah, Najib juga cuba mendekati rakyat melalui laman sosial
seperti Facebook dan Twitter.
Beliau yang juga
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, kegagalan Najib menangani
isu-isu agama dan penyelewengan yang berlaku membuktikan anak kepada
perdana menteri kedua itu merupakan seorang pemimpin yang tidak tegas
dalam menguruskan negara.
“Pelbagai pergolakan
politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras
atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta ketirisan dalam pengurusan
kewangan dan pembangunan negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib
sebenarnya... beliau seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu,
beliau semacam dirasuk sindrom penafian.
“Beliau
tidak mempunyai jati diri politik yang wajar disanjungi seumpama
bapanya, seorang negarawan sebaliknya kata-kata tidak cermat seperti
‘you help me, I help u (anda tolong saya, saya tolong anda)’, beliau
sinonim dengan tabiat ‘flip-flop’, satu ciri yang tidak membuktikan
ketegasan kerana beliau hanya mahu sokongan semua,” katanya.
Menurut
Dr Dzulkefly, Najib kini berhadapan dengan pelbagai cabaran getir
termasuk mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli parti Melayu
terbesar itu.
Tambah beliau lagi, gesaan
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar transformasi
sistem pilihan raya dilaksanakan menyerlahkan lagi betapa buruknya
kepimpinan Najib.
“Kini rakyat dan pengundi
yang mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya
keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan
parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Najib
gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil
sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang
semacam mahu terus melindungi yang kotor dalam sistem pilihan raya,”
katanya.
Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan
Rakyat berjaya menguasai Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan
Perak namun Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) awal
2009.
Selain itu, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.
Kelmarin
polis membebaskan enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput
Dr Michael Jeyakumar yang ditahan selama 28 hari sejak 2 Julai lalu
tanpa sebarang syarat.TVS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan