Walaupun penganjur perhimpunan Bersih bersetuju mengadakan perhimpunan aman itu di stadium, polis hari ini melancarkan sekatan jalanraya di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya yang mengakibatkan kesesakan jalanraya yang teruk.
Ribuan warga kerja lewat ke pejabat akibat sekatan jalanraya yang dilihat sebagai cubaan berterusan melumpuhkan perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu ini.
Antara jalan-jalan yang terjejas adalah Lebuhraya Persekutuan berhampir Subang Parade, Subang Jaya berhampiran Kolej Segi College, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan lebuh raya KL-Seremban di Seri Kembangan.
Kebanyakan pengguna jalanraya berang dengan tindakan polis itu sehingga menyebabkan ramai yang terkandas dalam perjalanan dan lewat ke destinasi masing-masing.
Ada yang meluahkan perasaan mereka di lama sosial seperti Twitter dan Facebook.
Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, langkah itu perlu memandangkan pihak polis telah merampas pelbagai senjata termasuk Molotov koktail dan parang sepanjang 48 jam lalu di Gombak dan Kuala Lumpur, yang didakwa akan digunakan ketika perhimpunan Sabtu ini.
“Tindakan kami adalah langkah mencegah. Kami ada tugas untuk melindungi rakyat dan ketenteraman dan keselamatan awam dikekalkan sepanjang masa,” kata beliau lagi.
“Kami berharap rakyat akan membantu kami. Ia hanya tanggungjawab kami untuk lakukan,” kata beliau.
Tun Hisan berkata pihaknya tidak akan menghentikan siasatan mereka ekoran rampasan senjata sejak beberapa hari lalu meskipun penganjur Himpunan Bersih 2.0 telah mengumumkan untuk membatalkan perhimpunan jalanan mereka.
Bersih 2.0 mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan