Kelmarin polis telah mendapatkan perintah mahkamah melarang 91 individu memasuki Kuala Lumpur.
Turut berada dalam senarai itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu dan naib-naib presiden Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Selain itu penganjur yang mengadakan perhimpunan termasuk daripada Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Perkasa turut tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur.
Mereka dilarang memasuki Kuala Lumpur antara pukul 8 pagi dan 6 petang sama ada berjalan kaki atau menaiki mana-mana kenderaaan termasuk bas dan kereta api.
Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata beliau berada di Kuala Lumpur, namun tidak mendedahkan lokasi sebenar.
“Sudah ada di Kuala Lumpur, itu sahaja... apa-apa kita tunggu sahaja esok macam mana,” jawabnya ringkas.
Jawapan sama turut diberikan Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada The Malaysian Insider.
“Dalam Kuala Lumpur, di mana sahaja,” jawabnya.
Menurut perkembangan terbaru Bersih 2.0, gabungan 62 pertubuhan bukan kerajan (NGO) itu memutuskan untuk berhimpun di tempat letak kenderaan Stadium Merdeka walaupun polis tidak memberikan sebarang permit.
Dalam kenyataan lewat petang semalam, Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan gerakan itu komited untuk berhimpun secara aman bersama rakyat Malaysia dalam menuntut pilihan raya bersih dan adil.
“Rakyat Malaysia daripada segenap lapisan telah melalui perjalanan jauh dan penuh cabaran untuk sampai di saat yang genting ini yang bakal mencorakkan sejarah negara kita.
“Dengan kurang 24 jam tinggal untuk perhimpunan aman Bersih 2.0, tekad kami untuk mengharungi fasa terakhir dan yang paling sukar dalam ranjau ini... adalah lebih kukuh daripada sebelumnya dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil demi membina Malaysia yang lebih bagus,” kata gabungan itu.
Kenyataan itu mencerminkan pendirian muktamad Bersih 2.0 untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka meskipun dilarang oleh polis dan jemaah menteri.
Menurut gabungan itu adalah amat penting, lebih-lebih lagi sekarang untuk rakyat yang patriotik untuk bangkit dan bersatu demi menyelamatkan Malaysia daripada tergelongsor lebih jauh ke dalam lurah kegelapan.
“Kita akan berkumpul di tempat letak kereta dan percaya pintu (stadium) akan dibuka kepada kita,” katanya.
Selain mengeluarkan perintah larangan ke atas 91 individu, polis juga mengambil langkah pencegahan dengan menutup dan melencongkan hampir 30 jalan utama sekitar Kuala Lumpur mulai 12.01 tengah malam tadi.
The Malaysian Insider difahamkan kepimpinan PAS akan berkumpul di Masjid Negara dan Masjid Jamek Kampung Baru sebelum menuju ke Stadium Merdeka.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan