Jumaat, 17 Jun 2011

Ramai Mualaf Pohon Murtad-Mufti Selangor

KUALA LUMPUR 17 JUN : Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid memberitahu, banyak permohonan untuk keluar Islam dibuat oleh golongan mualaf yang baru memeluk Islam.

“Yang ramai itulah dia, (orang yang) bertukar kepada Islam,” katanya ketika ditanya sama ada majoriti yang memohon menukar agama terdiri daripada saudara baru.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai butiran terperinci berhubung pendedahannya itu.

Malaysiakini kelmarin melaporkan, permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah bagi seluruh negara adalah 135 orang antara tahun 2000 hingga 2010.

Laporan itu berdasarkan statistik yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat yang menyatakan permohonan menukar status agama oleh orang Islam adalah 863 kes dan sebanyak 168 diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Lebih memeningkan lagi, menteri berkenaan pada petang Rabu, dipetik Bernama sebagai menafikan jawapan yang diberikannya kepada Dewan Rakyat itu.

Bernama melaporkan Jamil Khir berkata sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Tamyes turut melahirkan kebimbangannya berhubung peningkatan bilangan permohonan murtad yang ramai.

“Bukan saya seorang saja (bimbang), semua berasa bimbang. Saya harap golongan tertentu (yang ingin murtad) jelas matlamat (mereka) yang sebenar,” kata Tamyes.

Ramai yang dari Hindu

Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pihak, terutamanya penguatkuasa agama menggandakan usaha membenteras gejala itu dengan menggiatkan usaha dakwah.“Semua pihak (berusaha) bukan hanya pihak penguatkuasa sahaja. Orang ramai termasuk ibu bapa dan masyarakat kena berusaha,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, seseorang yang ingin menganut agama Islam perlulah dengan kerelaan hati dan bukannya kerana paksaan bagi mengelakkan masalah pada kemudian hari.

“Kalau begitu, dia (saudara baru) akan komited (berpegang pada Islam),” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pegawai penasihatan akidah di Jabatan Mufti Selangor, M Daruddin Taib @ Hassan memberitahu, di negeri itu, kebanyakan kes murtad melibatkan kaum India.

“Kita (jabatan mufti) menggunakan panel (yang dianggotai orang) Hindu yang masuk Islam (untuk kes sebegitu), saya tak boleh bertutur bahasa Tamil,” katanya.

Namun menurut beliau, terdapat juga kes lain yang melibatkan pelbagai latar belakang.

“Macam-macamla latar belakang. Ada yang lahir dan dibesarkan oleh keluarga yang bukan beragama Islam,” katanya.

Katanya lagi, ada yang memohon untuk bertukar kepada Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam namun kegagalan perkahwinan mendorong mereka kembali ke agama asal.-Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan