Jumaat, 8 April 2011

Kes Kematian Pegawai Kastam : Enam Orang Beri Keterangan

KUALA LUMPUR 8 APRIL : Susulan kes kematian penolong pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang ditemui mati di tingkat satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane Rabu lalu, polis sudah mengambil keterangan enam saksi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, dua pegawai SPRM yang digantung kerja berhubung kes tersebut antara mereka yang diambil keterangannya.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Zulkifli berkata polis juga telah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan itu untuk dianalisa.

Menurut Zulkifli, berhubung laporan bedah siasat yang dilakukan ke atas Allahyarham Ahmad Sarbani, pihaknya mendapati kesan kecederaan pada jenazah Allahyarham konsisten dengan akibat jatuh dari bangunan yang tinggi.

"Kini ujian makmal sedang dilakukan dan keputusannya akan diketahui dalam masa seminggu," katanya.

Kelmarin, Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Salbani Mohamed, 56 yang disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, dengan kesan kecederaan di kepala.

Menurut pengarah Penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, Ahmad Salbani dikatakan naik ke tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane untuk disoal siasat sebelum di jumpai mati diaras bawah bangunan itu , kira- kira jam 10.15 pagi.

Awal minggu ini, SPRM menahan lebih enam puluh pegawai Kastam dan merampas sejumlah wang bersabit siasatan rasuah di bawah beberapa akta termasuk Akta Pengubahan Wang Haram.

Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.TVS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan