Jumaat, 4 Mac 2011

Calon PAS DUN Merlimau terima SMS ugutan

JASIN, 4 Mac — Calon PAS Yuhaizat Abdullah hari ini mendedahkan bahawa ada pihak menghantar mesej berbaur ugutan kepadanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.
Kata Yuhaizat (gambar), beliau amat terkejut dan takut apabila menerima SMS berbaur ugutan itu.
“Saya ada terima (SMS), malam tadi... saya takut kerana ia SMS ugutan kata kenderaan anda tidak akan terjamin.
“Saya amat terkejut bila terima SMS itu namun saya yakin dengan kehadiran begitu ramai polis boleh mengawal keadaan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin itu berharap pihak polis dapat mengawal keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya minta biarlah perjalanan pilihan raya kecil ini berjalan dengan lancar, beri peluang kepada saya untuk bersama amalan demokrasi,” katanya.
Selain itu Yuhaizat, turut menerima SMS sama adalah Setiausaha PAS Melaka Harun Mohamad dan Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang.
Menurut Harun, SMS itu dihantar oleh kumpulan yang menggelarkan diri sebagai “Geng Jebat Derhaka”.
Tegas beliau, kemungkinan besar Barisan Nasional (BN) adalah dalang di sebalik penyebaran SMS berbaur ugutan itu.
SMS tersebut berbunyi “Geng Jebat Derhaka akan terus mengganas di ceramah-ceramah PR (Pakatan Rakyat) yang menjadi pentas memecah-belahkan Melayu, sekiranya anda mahu kejadian pecah kenderaan di (Kampung) Chinchin dan Jalan Pahlawan berulang, hadirlah ke ceramah-ceramah PR pada malam ini dan seterusnya... awas keselamatan kenderaan anda tidak terjamin”.
“Saya yakin ugutan ini datang dari pihak Umno-BN kerana sebelum ini saya pernah menerims SMS dari nombor yang sama berbunyi ‘TPM (Timbalan Perdana Menteri) bayau (bayar) makan minum di Chinchin supaya halal dan dia tak amik (ambil) kesempatan macam (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)... naik haji pun nak free (percuma)... nak orang sponsor (taja)... itu rasuah namanya dan tak ikut sunah nabi... sah ke hajinya?

“Nombor telefonnya sama tapi bila dihubungi tidak dapat,” kata Harun.
Tambah Harun, beliau telah membuat laporan polis berhubung SMS berbaur ugutan itu dan berharap pihak polis akan membuat siasatan segera.
Jelas Harun, beliau menerima SMS tersebut pada pukul 7.20 malam dan membuat laporan polis kira-kira pukul 12.30 malam tadi.
Bagaimanapun Yuhaizat tidak membuat laporan polis.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Yuhaizat dan calon BN, Roslan Ahmad yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Jasin.TMI

1 ulasan:

  1. Geng Jebat Derhaka ni dah mabok cencalok.Calon PAS diMerlimau jangan harap sangat pada pihak polis sebab depa pun cawangan UMNO.Ahli cawangan UMNO tak akan tangkap ahli sendiri.Kemunkinan depa tutup mata dua belah ada.Ini menunjukkan UMNO sudah tenggelam punca dan sudah tak kenal apa itu demokrasi.Geng Jebat Derhaka munkin ada power diMelaka tapi ingat apa yang berlaku diTunisia,Yaman,Mesir dan Libya.Jangan Merlimau dan Kerdau menjadi punca dan sebab berlakunya apa yang berlaku diMesir.

    BalasPadam