KALAU di kampung orang yang buat salah akan kecut perut apabila tahu pak lebai solat hajat. Cerita orang tua-tua, ada si pencuri jadi buncit perut selepas pak lebai solat hajat.
Cerita itu bukan sekadar mitos, namun ada realitinya. Dan malam tadi puluhan ribu rakyat Selangor solat hajat di Stadium Malawati.
Di kalangan puluhan ribu itu mungkin ada yang mudah dimakbulkan doanya. Orang kampung di luar Selangor tidak tahu apa yang mereka doakan.
Di Padang Perdana, Kota Bharu suatu ketika dahulu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebut terus terang nama-nama pemimpin yang menganiayai anaknya, Nik Adli.
Akhirnya Nik Adli dibebaskan daripada tahanan di Kamunting. Manakala pemimpin politik kerajaan Barisan Nasional yang terbabit dengan kes itu sekarang hilang segala keagungan kuasa.
Di Shah Alam pula, apa yang didoakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika mengimamkan solat hajat tersebut.
Mungkinkah ada disebut nama Datuk Mohd Khusrin Munawi yang menjadi wirajagat baru di Selangor sekarang. Kalau ada, Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru itu harus gusar.
Mungkinkah juga nama Tan Sri Mohd Sidek Hassan disebut orang di majlis itu.
Maka sebelum terlambat, elok betulkan semula apa yang kusut sebelum ada yang ’bunceh’ perut.
Rakyat Selangor datang beramai-ramai kerana hendak tahu apa cerita sebenar di sebalik isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.
Mereka mahu dengar dari mulut Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri. Bagaimanapun sekarang ramai orang Melayu sudah tidak endahkan solat hajat.
Maka tidak hairanlah ada pegawai kanan kerajaan memilih untuk bertembung dengan kerajaan yang dipilih rakyat.
Kadang-kadang mereka lupa, kerajaan sebenarnya mewakili rakyat. Memilih bertembung dengan kerajaan bermakna menyahkan kehendak rakyat.
Sedangkan gaji dan elaun dibayar pegawai dibayar dari wang rakyat.
Hasil mandat rakyatlah kerajaan Pakatan Rakyat dapat dibentuk.
Biar pun pegawai kanan kerajaan yang ada sekarang semuanya diambil bekerja ketika BN jadi pemerintah, namun prinsip ’goverment on the day’ perlu diambil kira.
Lain pula kes di Kelantan kerana PAS menguasai pentadbiran negeri sejak 1959 sehingga sekarang.
Namun semasa BN menguasai Kelantan 1978 sehingga 1990, ramai pegawai dan kakitangan kerajaan dilantik hasil anugerah politik keramat Umno.
Contohnya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang diwujudkan pada 1978, ramai kakitangan dan pegawai dilantik atas insan Umno.
Sebab itulah Kesedar sehingga sekarang menjadi lubuk kepada Umno bagi menguasai kawasan Kelantan selatan. Kesedar bertembung dengan PAS pada pilihan raya kecil di Manek Urai dan Galas. Bekas pegawai Kesedar jadi calon BN di situ.
Semasa BN menguasai Kelantan sebelum 1990, di mana-mana jabatan dan agensi kerajaan, ramai pegawai yang halusinasi dengan Umno.
Kita boleh kenal antara pegawai yang bias kepada Umno dan PAS.
Di Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) Bandar Raya Islam juga ada pegawai macam itu. Begitu juga di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan atau Pegawai Tadbir Negeri (PTN).
Masih ada pegawai lama yang mempertahankan status quo.
Ada pegawai dilantik atas hubungan rapat dengan Umno dan bukan atas dasar merit. Maka tidak hairanlah ada cerita, segelintir pegawai buat sikap acuh tak acuh terhadap dasar Membangun Bersama Islam.
Ramai SUK lawan kerajaan
Mereka dilantik ketika zaman kerajaan BN menguasai Kelantan. Namun lebih aneh lagi ketika PAS menguasai kerajaan, ada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dilantik tidak sekupu dengan kerajaan negeri.
Paling ketara berlaku ketika Wan Hashim Wan Daud mengetuai jentera pentadbiran.
Ketika itu hubungan dingin dipamerkan. Wan Hashim kelihatan menggunakan bodyguard ketika datang ke pejabat.
Beliau juga pernah bertembung dengan Setiausaha Politik Menteri Besar ketika itu, Husam Musa. Dan Wan Hashim pernah diseret ke mahkamah oleh seorang bekas pegawai tadbir negeri berkaitan isu peribadi.
Rakyat Kelantan tahu cerita hubungan tidak mesra di antara SUK dan kerajaan negeri. Namun, kerajaan negeri tidak boleh pergi lebih jauh kerana bidang kuasa pelantikan SUK di bawah pihak lain.
Pernah berlaku pada Oktober 1996 tindakan sekumpulan PTN keluar daripada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) beramai-ramai bagi mempertahankan Wan Hashim.
Manakala larangan kerajaan negeri terhadap pegawai kanan memegang jawatan dalam badan sukan juga tidak dihiraukan Wan Hashim.
Krisis membabitkan PTN juga berlaku apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) melantik dua pegawai kanan di MPKB.
Pelantikan itu dianggap bercanggah dengan Pekeliling Perjawatan Kerajaan Negeri 5/1989. Krisis timbul apabila MPKB menolak kehadiran dua pegawai berkenaan untuk mengisi jawatan Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha.
”Kerajaan negeri terpaksa bersikap jiwa besar dalam menangani masalah dalaman. Ini kerana musuh yang dihadap bukan pegawai, sebaliknya Umno dan BN,” kata seorang bekas pegawai tadbir.
Biar pun ada budi bicara setiap pertukaran pegawai kanan harus dimaklum terlebih dahulu kepada Menteri Besar, namun di Kelantan ia tidak berlaku.
Isu Wan Hashim akhirnya selesai selepas pegawai kanan itu pencen. Inilah uniknya Kelantan sehingga dapat bertahan sehingga sekarang.
Dan apa yang berlaku di Kelantan lebih 10 tahun lalu, kini berulang pula ke negeri lain di bawah Pakatan.
Pada 2008 ia berlaku di Perak apabila SUK, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim bertembung dengan Menteri Besar, Datuk Mohammad Seri Nizar Jamaluddin.
Nizar pernah meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) menukar Abdul Rahman dengan alasan kurang sekupu, namun tidak diendahkan.
Ketika kerajaan Pakatan Rakyat diguling pada Februari 2009, Dr Rahman dikatakan memainkan peranan penting sehingga agenda Umno/BN terlaksana.
Situasi serupa juga berlaku di Pulau Pinang apabila Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus bertembung dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ketua Menteri meminta KSN memanggil balik pegawai terbabit ke Putrajaya.
Dan sekarang isu pegawai kanan lawan kerajaan negeri menular pula ke Selangor.
Tindakan KSN, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan Pengarah Jabatan Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor melebarkan lagi luka lama.
KSN dikatakan hanya memaklumkan Sultan tanpa melalui pejabat Menteri Besar.
Sedangkan Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyebut jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri perlu diwujudkan, dan pelantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.
Biar pun difahamkan tiada peruntukan membabitkan bidang kuasa Menteri Besar, namun daripada aspek adat dan tertibnya, pemakluman wajar dilakukan.
Ini kerana Undang-Undang Tubuh Selangor menyebut SUK harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar. Sekarang apa dah jadi apabila Tan Sri Khalid Ibrahim enggan menerimanya.
Watak Khusrin sebenarnya sudah berlegar dalam politik di Selangor kerana beliau dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno.
”Pegawai terbabit ada hubungan dengan bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Muhd Muhammad Taib,” dakwa satu sumber Umno.
Ketika Khusrin mengetuai Jais sikapnya sudah dilihat tidak sebulu dengan kerajaan negeri.
Pengarah Komunikasi Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad menulis, pada Ramadan lepas Datuk Seri Najib Razak mahu mengadakan program Umno di Masjid al-Ihsan, Taman Medan.
Menurutnya Khusrin terlibat melobi supaya program itu dibenarkan, sedangkan sebelum itu pelbagai sekatan dikenakan terhadap pemimpin Pakatan ingin mengadakan program di masjid.
Khusrin juga dikatakan diam membisu apabila anggota Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan menyampaikan cek di Masjid Sungai Tengi, Hulu Selangor.
Sedangkan sebelum itu beliau mengecam anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ketika bertandang ke Surau al-Huda, Kajang.
Pertembungan itu nampaknya tidak mudah reda. Apa yang pasti tunggulah sehingga Khusrin pencen. Beliau mungkin mengulangi jejak Wan Hashim di Kelantan suatu ketika dahulu.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan