Isnin, 17 Januari 2011

Perlu ke pembangkang fitnah Rais?


Subky Latif

DATUK Seri Dr. Rais Yatim(gambar) yang berdepan dengan satu fitnah besar negara sekarang cuba menangkisnya sebagai satu angkara jahat pembangkang untuk meruntuhkannya dan sekali gus meruntuhkan Umno.
Memang benar pembangkang memberi reaksi bersungguh terhadap fitnah yang melanda Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu kerana ia adalah satu yang mengaibkan negara.
Baik Dr. Rais di pihak yang benar atau sebaliknya, fitnah yang melandanya itu adalah mengaibkan.
Sebelum fitnah itu diselesaikan, maka pembangkang ada peranan dan tanggungjawab mengikut caranya bagi membantu menyelesaikannya. Sama ada penyelesaiannya nanti gembira untuk Rais dan semua atau sebaliknya bergantung kepada tindakan yang diambil terhadap fitnah itu.
Tetapi tidak banyak yang dapat membantu Dr. Rais meringankan fitnah itu dengan melemparkan ia adalah gara-gara dan angkara pembangkang.
Sekalipun reaksi pembangkang boleh memanaskan fitnah itu tetapi apa keperluan yang pembangkang boleh dapat dengan memfitnahkannya dalam keadaan dia sudah berada di babak hujung hayatnya dalam Umno dan kerajaan.
Gilirannya untuk pergi seperti Samy Vellu mungkin yang tertinggi dalam seranai selepas Samy Vellu itu. Tidak buat apa-apa pun terhadapnya dia adalah ibarat buah ranum yang menunggu gugur. Tidak diusik pun dia tetap gugur. Maka apa perlunya bagi pembangkang menimbulkan fitnah terhadapnya.

Kalau dia gugur dan binasa kerana fitnah itu maka tidak banyak yang menjamin tumbangnya kuasa dan kerajaan yang bertulang belakangkan Umno. Ia boleh memalukan Umno dan Umno memang sudah biasa dengan malu yang begitu.
Kesan memfitnah Rais tidak sebesar memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memfitnah Anwar dulu menyebabkan Barisan Nasional tumbang di Terengganu tahun 1999 dan PAS dalam sejarah menjadi pembangkang terbesar di Parlimen. Selangor dan Pahang buat pertama kali berADUNkan PAS.
Fitnah terbaru terhadap Anwar boleh mengsosongkan calon Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat jika dia dipenjara lagi.
Tetapi kesan terhadap Rais tidak sebesar itu. Rais boleh binasa tetapi Najib. Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan lain-lain yang masih ada potensi dapat meneruskan cengkapam kuku Umno yang sudah tidak berapa tajam itu.
Kalau fitnah itu boleh memberi pulangan besar kepada politik pembangkang, maka bukan Rais yang berada di hujung jalan itu yang perlu digoda. Kalau dia tidak digodapun dia akan pergi. Dia mungkin pergi lebih cepat bila digoda. Bila dia pergi, dia pun habis. Tetapi kuku UMNO belum dipotong habis. Hayatnya bersambung lagi.
Berbeza fitnah itu ditumpukan kepada Muhyiddin, Zahid Hamidi dan lain-lain. Mereka sedang memanjat tapak yang lebih tinggi dan mereka muda dan masih banyak masa dan tenaga. Mereka juga lebih penting dari Rais yang masa depannya sudah tidak banyak.
Dari membuang masa yang banyak memfitnah Rais, maka lebih menguntungkan kalau memfitnah Muhyiddin dan rakan-rakannya yang lain.
Bahkan memfitnah Datuk Seri Najib tidak begitu diperlukan sangat kerana dia sendiri sudah letih dengan berbagai fitnah yang melandanya. Fitnah tentangnya sudah disekeliling pinggang. Menambah fitnah terhadapnya lebih memberi banyak kesan dari memfitnah Rais.
Kalau Najib boleh binasa dengan beban fitnah yang bertambah, maka binasanya itu boleh memberi keuntungan besar kepada pembangkang. Walau pun Muhyiddin dan Zahid masih ada, tetapi kesannya jauh lebih besar dari membinasakan Rais.
Kalau Najib yang boleh binasa sendiri tidak begitu perlu difitnah lagi, maka keperluan memfitnah Rais tidak mampu memberi keuntungan lebih besar kepada pembangkang.
Tidak begitu perlu pembangkang memfitnah Rais atas suasana yang ada padanya sudah tidak berpotensi besar kepada BN dan Umno. Yang perlu memfitnah Rais ialah orang Umno yang begitu lama menunggu untuk menjadi calon BN di Jelebu. Jika dia tidak dikacau, maka dia mungkin menjadi calon lagi di Jelebu. Sampai bila orang Umno lain hendak menunggu.
Pada saya jika fitnah terhadap Rais datang bukan dari dirinya sendiri, tidak begitu besar keperluan itu datang dari pembangkang. Maka melemparkan fitnah itu datang dari luar tidak banyak dapat membantu Rais keluar dari badai yang melandanya.
Dia perlu banyak bersabar kerana Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Sabar itu menyerah diri kepada Allah sambil memenuhi syarat-syaratnya.HrkhImbang Penuh

2 ulasan:

  1. Pokoknya sekarang bukan pembangkangnya fitnah Rais tetapi apa tindakan kepada laporan polis?
    Kan 2 laporan polis telah di buat di Kawasan Parlimen Rais, takkan kerana kenyataan dari PM bererti laporan itu tidak perlu disiasat?Hanya kerana PM kata "mengapa kes itu dibangkitkan sekaranag selepas 3 tahun"?

    BalasPadam
  2. Kes Rais Yatim ni bukan pihak pembangkang yang buka tapi dari salah seorang blogger.Pihak pembangkan cuma tumpang sekaki aje.Jika Rais Yatim kata dia difitnah,beranikah dia buat sumpah dimesjid,melafaskan yang dia tak buat kerja terkutuk tu.Ada berani?

    BalasPadam