Khatib Zakaria saman dua akhbar, seorang pemimpin Umno selepas Aidilfitri


KUALA LUMPUR, 5 Sept — Zakaria Ahmad(gambar), khatib yang dikaitkan dengan isu khutbah Pulau Pinang bulan lalu berkata, beliau sudah mengambil keputusan muktamad untuk memfailkan saman fitnah terhadap dua akhbar harian dan seorang pemimpin Umno negeri itu selepas sambutan Aidilfitri.
“Saya memutuskan untuk mengambil tindakan saman fitnah selepas pihak-pihak terbabit enggan memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang khatib,” kata Zakaria ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
“Mula-mula saya memberi mereka yang mengeluarkan kenyataan tidak betul tentang diri saya selama dua hari untuk mohon maaf, tetapi meskipun saya menanti sehingga kira-kira seminggu, mereka tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memohon maaf... jadi saya memutuskan untuk mengambil tindakan saman.
“Peguam saya sedang menguruskan perkara ini, dia sedang meneliti segala kandungan kenyataan mereka,” kata beliau lagi.
Kata Zakaria, sekurang-kurangnya jika mereka meminta maaf beliau bersedia untuk memaafkan lebih-lebih lagi sempena bulan Ramadan sekarang.
“Saya seorang ahli PAS dan seorang yang beragama Islam saya sanggup untuk memaafkan mereka... Islam mengatakan kita harus memaafkan orang lain jika mereka memohon maaf, tetapi malangnya walaupun mereka telah memfitnah saya tetapi enggan memohon maaf,” kata beliau lagi.
Zakaria tidak menolak untuk memaafkan mereka jika tampil memohon maaf secara terbuka sebelum 1 Syawal.
Sebelum ini, Zakaria mempertahankan tindakannya berdoa untuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang sambil menegaskan, ia tidak salah di sisi agama.
“Bagi saya, berdoa (untuk orang bukan Islam) itu tidak salah cuma cara berdoa dan tempat (ketika khutbah Jumaat) itu yang dikatakan menjadi kesalahan.
“Insya-Allah lepas ini saya tidak akan mendoakan lagi (khutbah Jumaat) kalau hendak mendoakan pun di tempat lain,” katanya.

Iklan Aidil Fitri: Pemuda PAS hantar bantahan ke TV3


KUALA LUMPUR, 5 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat bantahan ke stesen TV3 dan juga kepada Kementerian Penerangan berkaitan siaran iklan Aidil Fitri yang didakwa mengelirukan.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.Bantahan tersebut akan dihantar pada Isnin ini, 6 September 2010.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.

"Ia sangat mengguris perasaan dan sensitiiti ummat Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS katanya menggesa agar TV3 segera membatalkan penyiaran iklan tersebut.

"Kalaupun pihak mereka mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam," katanya lagi.

Selain itu mereka mendesak agar TV3 memohon maaf kepada ummat Islam di atas penyiaran iklan yang bercanggah dengan Syara' dan memberi gambaran yang salah tentang Aidil Fitri sebagai satu hari yang mulia dalam diari ibadah ummat Islam .

Manakala Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula diges memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

"Nampaknya tidak memadai iklan atau filem ditapis oleh pihak Finas jika perkara-perkara yang menjejas nama baik Islam masih terus berleluasa di dalam media elektronik negara kita," katanya.

Sementara itu, iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat uamat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.Hrkh