Selasa, 22 Jun 2010

PRU-13 hujung tahun ini ?

SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka diadakan seawal hujung tahun ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak(gambar) memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sudah menjadi kebiasaan dan wajar seorang pemimpin negara yang baru dilantik mendapatkan mandat rakyat memandangkan keadaan ekonomi negara juga sudah pulih.

Menurutnya, dengan pilihan raya umum ini nanti barulah kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) diuji sejauh mana mereka boleh meneruskan kepimpinan negara dan menidakkan percubaan Pakatan Rakyat: (PR) merampas Putrajaya.

“Saya bersependapat dengan Tun Mahathir Mohamad bahawa pilihan raya umum wajar dipercepatkan dan saya jangka seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.

“Jika pilihan raya umum diadakan pada hujung tahun depan, ia sudah menjadi pilihan raya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.SH

Trend terbaru kerajaan BN musnah bangunan warisan?

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Cadangan pemindahan dan pemusnahan bangunan yang dianggap warisan negara seperti Istana Negara, Parlimen dan terbaru perobohan Penjara Pudu dilihat sebagai trend terbaru kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional.
Di saat semuanya masih selesa dan berfungsi dengan sempurna, tindakan tersebut mengundang persoalan sama ada ianya satu keperluan, atau ada agenda lain.
"Saya melihat satu trend daripada kerajaan melenyapkan bangunan warisan di negara kita.
"Penjara Pudu contohnya, kenapa tidak dikekalkan sekurang-kurangnya pintu gerbang," kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo’ Ghazali ketika ditemui di parlimen hari ini.
Biarpun Penjara Pudu dianggap sejarah hitam, tetapi yang hitam juga, katanya perlu dikekalkan.
"Sama juga isu bangunan parlimen baru, apa nak dibuat dengan parlimen ini, kita selesa di sini, kenapa perlu di ubah," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar pula, trend tersebut mungkin berpunca daripada sikap pemimpin yang mahu mengejar keuntungan.

RM6.45 juta kendali 11 pilihan raya

Sejumlah RM6,451,285 dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan 11 pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada Mac 2008.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagi proses pengendalian pilihan raya kecil kerusi Parlimen sahaja, sejumlah RM1.3 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, kata beliau, peruntukan untuk SPR berkenaan tidak termasuk perbelanjaan melibatkan kementerian, jabatan dan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

‘‘Perbelanjaan untuk mengendalikan sesuatu pilihan raya kecil adalah tinggi. Di Sibu dan Hulu Selangor sahaja, perbelanjaan SPR untuk mengelolakan setiap satu kerusi Parlimen ini mencecah RM1.3 juta,” katanya.

Selepas PRU 2008, negara menyaksikan 11 pilihan raya kecil bagi kawasan Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Manek Urai, Bukit Gantang, Batang Ai, Bukit Selambau, Bagan Pinang, Penanti, Permatang Pasir, Hulu Selangor, Sibu.Erapakatan

Ulama Masuk Umno Hanya Mengorek Kubur Sendiri - PAS

PETALING JAYA: PAS tidak gentar dengan strategi Umno untuk menarik lebih ramai ulama menyertai parti itu.
Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata parti itu tidak akan lemah walaupun lebih seribu ulama menyertai Umno.
"Ulama yang menyertai Umno itu akan hanya 'mengorek lubang untuk menguburkan' diri mereka sendiri kerana parti itu tidak akan memberi jawatan penting kepada pemimpin berkenaan.
"Kami tidak berasa terancam kerana akhirnya ulama yang menyertai Umno itu akan menjadi lemah,” katanya di sini hari ini.
Idris berkata demikian sebagai mengulas artikel Umno Online yang mendakwa 100 ulama termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai parti itu Jumaat ini.
Dalam entri terbaru yang dimuat turun di blognya semalam, Mohd Asri berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.