PETALING JAYA: PAS tidak gentar dengan strategi Umno untuk menarik lebih ramai ulama menyertai parti itu.
Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata parti itu tidak akan lemah walaupun lebih seribu ulama menyertai Umno.
"Ulama yang menyertai Umno itu akan hanya 'mengorek lubang untuk menguburkan' diri mereka sendiri kerana parti itu tidak akan memberi jawatan penting kepada pemimpin berkenaan.
"Kami tidak berasa terancam kerana akhirnya ulama yang menyertai Umno itu akan menjadi lemah,” katanya di sini hari ini.
Idris berkata demikian sebagai mengulas artikel Umno Online yang mendakwa 100 ulama termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai parti itu Jumaat ini.
Dalam entri terbaru yang dimuat turun di blognya semalam, Mohd Asri berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ragu-ragu dengan dakwaan bahawa bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno.
“Saya tidak yakin Dr Asri akan bekerjasama dengan Umno. Jika beliau menyertai Umno maka tanggapan saya mungkin silap,” katanya.
Harun berkata ulama yang menyertai Umno adalah golongan yang tidak bertakwa.
“Ulama yang bertakwa tidak akan menyokong sebuah parti yang membenarkan judi dan penjualan minuman keras secara terbuka. Ulama yang tidak bertakwa adalah golongan yang tidak beriman kepada Allah,” ujarnya.
Jelasnya, PAS tidak merasa terancam dengan langkah Umno merekrut ramai golongan ulama.
“Umno telah lama mempergunakan semua mufti untuk kepentingan mereka selama ini,” katanya.Mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan