Sabtu, 22 Mei 2010

Adun Kerdau kembali kritikal..

KUALA LUMPUR, 22 Mei Anggota Dewan Undangan Negeri Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei lepas kini kembali kritikal.

Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin, 63, tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat kira-kira pukul 6 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan oleh salah seorang anaknya yang beliau tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh jururawat untuk diberi ubat pagi tadi. Saya difahamkan, kemungkinan beliau mengalami strok dan dia kini dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata anggota keluarga Zaharuddin diminta datang ke hospital oleh doktor yang merawatnya kerana beliau berada dalam keadaan koma, dan doktor turut memaklumkan bahawa keadaan jantung serta paru-paru Zaharuddin dalam keadaan lemah, dan beliau memerlukan perhatian serius.

Zaharuddin dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh pada 3 April lalu untuk menjalani pembedahan ulser usus setelah mengadu sakit di bahagian perut sebelum dirujuk ke IJN selepas berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya. — Bernama

Gambar : Kecewa Bercinta,Gadis 17 Tahun Cuba Bunuh Diri

suspek yang belum didedahkan identitinya, dibawa turun oleh pihak polis dan bomba dari atas bangunan

KUALA TERENGGANU
– Seorang suspek ditahan di tingkat empat sebuah rumah kedai di Jalan Banggol disini semalam, setelah cuba untuk membunuh diri.


Sumber polis Kuala Terengganu memberitahu remaja perempuan berusia 17 tahun itu cuba terjun dari bahagian belakang bangunan tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam
”Gadis tersebut cuba terjun dari tingkat empat bahagian belakang bangunan, dengan bantuan pihak polis dan bomba, dia sempa ditarik dan diselamatkan,”kata sumber itu.

Katanya, suspek berbuat demikian kerana kecewa dalam percintaan dan kini di tahan untuk disoal siasat.

”Kekasih gadis tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan dibalai polis,”kata sumber itu lagi.

Ahli Parlimen Kapar Nafi Umum Keluar PKR


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam(gambar) menafikan beliau akan mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu di sidang media di sebuah hotel di Shah Alam petang ini.
Manikavasagam bagaimanapun mengakui maklum berhubung khabar angin mengenai perkara itu yang mula tersebar sejak semalam.
"Saya tak akan hadiri mana-mana sidang media, saya tak bercadang nak buat apa-apa pengumuman untuk tinggalkan PKR.
"Itu semua hanya khabar angin yang sengaja disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada mStar Online di sini.

Pengikut Dakwa Ashaari Masih Hidup ?

Berikutan dakwaan kononnya pengasas Al-Arqam tidak mati tetapi berada di Gua Ashabul Kahfi, seorang guru pondok dari Kelantan mendesak pihak berkuasa agama memandang serius terhadap amalan dan aktiviti yang masih dibawa kumpulan berkenaan.
“Kalau begitu rupa-rupanya masih ada di kalangan masyarakat Islam kita berpegang kepada amalan songsang begini, membawa kepercayaan karut yang boleh mensyirikkan akidah sebagai seorang Islam,” kata Abdullah Sa’amah ketika dihubungi.
Beliau mengulas dakwaan bekas seorang pengikut kumpulan itu, dikenali sebagai Abu Ubaidah yang mendedahkan ada menerima mesej (SMS) daripada orang yang paling rapat dengan bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad mengatakan pemimpin itu kini berada di Gua Ashabul Kahfi.
SMS berkenaan berbunyi: “Abuya tak mati. Kalau kuburnya dibongkar sekarang mayat Abuya tak ada. Abuya sekarang ada di Gua Ashabul Kahfi. Dia akan bangun berjuang bila nak daulah nanti. Tunggulah arahan-arahan Abuya yang akan disampaikan kepada umum dari masa ke masa. Abuya... dikatakan tak mengembuskan nafas terakhir. Dia masih hidup...”Abuya adalah panggilan mesra kepada Ashaari oleh pengikutnya.Ashaari meninggal dunia 13 Mei lalu akibat jangkitan paru-paru.