Sabtu, 22 Mei 2010

Pengikut Dakwa Ashaari Masih Hidup ?

Berikutan dakwaan kononnya pengasas Al-Arqam tidak mati tetapi berada di Gua Ashabul Kahfi, seorang guru pondok dari Kelantan mendesak pihak berkuasa agama memandang serius terhadap amalan dan aktiviti yang masih dibawa kumpulan berkenaan.
“Kalau begitu rupa-rupanya masih ada di kalangan masyarakat Islam kita berpegang kepada amalan songsang begini, membawa kepercayaan karut yang boleh mensyirikkan akidah sebagai seorang Islam,” kata Abdullah Sa’amah ketika dihubungi.
Beliau mengulas dakwaan bekas seorang pengikut kumpulan itu, dikenali sebagai Abu Ubaidah yang mendedahkan ada menerima mesej (SMS) daripada orang yang paling rapat dengan bekas pemimpin al-Arqam, Ashaari Muhammad mengatakan pemimpin itu kini berada di Gua Ashabul Kahfi.
SMS berkenaan berbunyi: “Abuya tak mati. Kalau kuburnya dibongkar sekarang mayat Abuya tak ada. Abuya sekarang ada di Gua Ashabul Kahfi. Dia akan bangun berjuang bila nak daulah nanti. Tunggulah arahan-arahan Abuya yang akan disampaikan kepada umum dari masa ke masa. Abuya... dikatakan tak mengembuskan nafas terakhir. Dia masih hidup...”Abuya adalah panggilan mesra kepada Ashaari oleh pengikutnya.Ashaari meninggal dunia 13 Mei lalu akibat jangkitan paru-paru.

Beliau adalah pengasas kumpulan Al-Arqam yang ditubuhkan pada 1968 sebelum diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Mengulas lanjut, Abdullah bertegas kegagalan pihak berkuasa daripada melakukan sebarang tindakan terhadap pengamal ajaran karut dan sesat seolah-olah sengaja membuka ruang kepada pengaliran racun untuk terus merosakkan akidah masyarakat Islam.
“Ajaran ataupun aliran sebegini adalah satu kesesatan yang nyata, sah sesat.
“Pihak berkuasa agama khususnya di Selangor mesti ambil tindakan segera, tidak boleh berdiam diri atau bertangguh-tangguh sebelum ia berlarutan mempengaruhi serta merosakkan akidah masyarakat Islam yang lain.
“Ana (saya) bukan bercakap dalam konteks Selangor sahaja, tapi seluruh negeri sebab ajaran atau amalan-amalan begini sebenarnya bukan sahaja terdapat di Selangor malah di seluruh negeri.
“Sebut Selangor tu sebab kebetulan baca berita ini laporan dari Selangor,” katanya.
Pusat operasi rangkaian ekonomi pengikut kumpulan itu adalah di Rawang, Selangor.
Abdullah menyifatkan golongan yang terlalu taksub kepada bekas pemimpin kumpulan berkenaan sehingga menganggapnya tidak mati itu sebagai “taksub membuta tuli, malah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.”
“Rasulullah sendiri pun mati,” katanya.
Abdullah lebih dikenali dengan panggilan “tok guru pondok” oleh pelajar-pelajar pondok negeri ini merupakan pengasas pondok Geting di Tumpat.
Malah laporan media semalam juga menyebut pengikut Ashaari kembali mencetuskan kontroversi apabila mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin Al-Arqam itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.
Konsert itu diadakan empat hari selepas Ashaari meninggal dunia.
Mengulas isu itu semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memantau kegiatan pengikut bekas pemimpin Al-Arqam bagi memastikan pertubuhan yang diharamkan itu, tidak dihidupkan semula.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula memberi jaminan pihak berkuasa keselamatan akan memantau secara dekat kegiatan pengikut bekas pemimpin Al-Arqam itu dan berharap orang ramai tidak bimbang dengan situasi itu.
Ekoran laporan media semalam, keluarga Allahyarham Ashaari mengaku ada mengadakan pantomim memperingati kematian pengasas Al-Arqam itu tetapi menegaskan, ia hanya diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat semata-mata.
Malah mereka juga tidak mahu orang ramai mensensasikan kematian bekas pemimpin Al-Arqam itu.
Mohd. Ikramullah, anak keenam Ashaari berkata, program tersebut yang diadakan di Bandar Country Homes, Rawang hanya satu bentuk kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.TMI

1 ulasan:

  1. Saya setuju kerajaan patut ambil tindakan segera untuk mengatasi masalah kepercayaan karut ini. Kita bimbang pengikut ayah Pin akan mengambil tindakan yang serupa masa depan, tumpang bimbang.

    BalasPadam