SHAH ALAM, 29 NOV - Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Negeri-negeri Pakatan Rakyat berlangsung hari ini menyaksikan pemimpin Pakatan Rakyat berkongsi pandangan mereka dalam usaha memantapkan usaha dan kerjasama bagi menentukan gabungan berkenaan di landasan yang mantap bersedia terutama bagi menghadapi pilihanraya ke 13 yang akan datang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berkata, persidangan kali kedua ini juga merupakan medium penting untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam menggalas amanah rakyat berdasarkan prinsip ketelusan, kebertangungjawaban dan urus tadbir kerajaan yang baik.
Khalid berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat di Kompleks Kediaman Pegawai Kerajaan di Seksyen 7, Shah Alam.
"Saya anggap perjumpaan kali ini sangat positif kerana ini akan memberi peluang kepada ketua-ketua menteri dan juga ahli-ahli exco untuk berkongsi maklumat dan panduan dalam usaha luntuk mencari jalan bagaimana usaha kita dapat dipertingkatkan," katanya lagi.
Menurut Khalid, persidangan ini juga merupakan landasan bagi ke empat-empat pemimpin pakatan rakyat membincangkan persoalan dasar, strategi dan program yang dilaksanakan disetiap negeri agar dapat dikongsi sebagai panduan atau pengajaran kepada semua pihak.
Khalid berkata,negeri-negeri Pakatan Rakyat menghadapi pelbagai cabaran selama tiga tahun memerintah tetapi berjaya mematahkan cubaan yang bertujuan menggagalkan usaha-usaha reformasi pentadbiran negeri.
Tambah Khalid, persidangan kali ini juga dibuat bagi membincangkan persediaan negeri menghadapi pilihan raya umum ke 13 akan datang.TVS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan