Selasa, 30 November 2010

PKR Mohon Maaf Jika Bukan Islam Tersilap Makna Ayat Al-Quran

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon maaf jika tindakan seorang perwakilannya bukan beragama Islam tersilap makna pada satu ayat Al Quran yang dibaca dalam perbahasannya di Kongres Nasional PKR pada Ahad.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim(gambar) berkata tindakan S.Kesavan itu menunjukkan semua pihak akan membuat rujukan kepada Al Quran tetapi kalau beliau tersilap makna ayat Al-Quran itu, PKR memohon maaf.
Pada kongres ke-7 itu selama tiga hari yang berakhir di Petaling Jaya semalam, Kesavan memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul.
"Dia hanya untuk menceritakan bagaimana Al Quran itu memberi kewajipan kepada manusia untuk menjalankan tugas dengan baik. Saya pun tak berapa pakar tentang ini tetapi dia mencuba tapi saya tak menghalang dia mencuba kalau dia silap kita akan betulkan, itu tanggungjawab saya...saya ta tahu itu kesilapan, " kata Abdul Khalid.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai isu itu semasa sidang akhbar Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang di sini pada Isnin.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang hadir pada sidang itu berkata orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat Quran.
Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pengalamannya berceramah bersama seorang pemimpin DAP dahulu, pemimpin itu merujuk kepada beliau ayat yang hendak digunakan terlebih dahulu sebelum berucap.
Sementara itu Abdul Khalid berkata pada persidangan sehari itu, para menteri besar dan ketua menteri tidak membincangkan perkara mengenai pilihan raya dan mengambil pendirian akan terus mentadbir sehingga mereka membuat keputusan untuk bertanding.

Antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai pentadbiran dan politik, komunikasi dan media masa, pertanian serta ekonomi, infrastruktur dan pelaburan, katanya.
Mengenai Selangor, Abdul Khalid berkata beliau yang berpengalaman menerajui industri petrokimia akan mengadakan perjumpaan dengan pengusaha industri plastik bagi mendengar pandangan mereka mengenai langkah kerajaan negeri mengurangkan penggunaan beg plastik bagi memelihara alam sekitar.
Selangor adalah antara negeri di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang selain Pulau Pinang yang melancarkan kempen kurangkan penggunaan beg plastik di mana pada setiap Sabtu pusat membelibelah tidak menyediakan beg plastik dan pengguna yang memerlukannya dikehendaki membayar 20 sen bagi satu beg.
Beg plastik yang mudah dilupuskan adalah satu pendekatan yang diguna pakai masa kini bagi menjaga alam sekitar.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau masih menunggu laporan daripada Persatuan Pengeluar Beg Plastik supaya memberikan laporan mengenai kesan kempen pengurangan penggunaan beg plastik.- BERNAMA

1 ulasan:

  1. Perjuangan PAS lebih bermaruah tanpa PKR dan DAP.
    Keujudan PAS dalam PR hanya sebagai Babi tunggangan sahaja.
    Tak percaya? Tanyalah sama Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

    BalasPadam