Jumaat, 26 November 2010

Mahkamah tolak petisyen bekas Sultan Kelantan





PUTRAJAYA, 26 Nov — Mahkamah Persekutuan menolak dua petisyen yang dikemukakan oleh bekas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Yahya Petra, yang meminta mahkamah menafsirkan perkataan “Duli Yang Maha Mulia” dan hak-hak asas seorang sultan.

Dalam keputusannya diumumkan pagi ini, mahkamah memutuskan bahawa Tuanku Ismail Petra(gambar) tiada hak untuk merujuk persoalan undang-undang termasuk maksud “Duli Yang Maha Mulia” kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Malah mahkamah juga memutuskan bahawa Tengku Muhammad Faris Petra, ketika itu Pemangku Sultan dan Sultan Kelantan buat masa sekarang, mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas ketika sultan tidak berupaya untuk berbuat demikian.

Hakim Mahkamah Persekutuan Zulkfeli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel tiga hakim berkata keputusan itu adalah sebulat suara.

Tuanku Ismail Petra memfailkan dua petisyen bagi mendapatkan pandangan Mahkamah Persekutuan mengenai kuasa seorang Pemangku Raja semasa Sultan hilang keupayaan.

Petisyen yang masing-masing difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini, menamakan Sultan Muhammad V dan kerajaan Kelantan sebagai responden.

Tengku Muhammad Faris Petra telah dimahsyurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu dalam satu istiadat di Istana Balai Besar, Kota Baharu dan kini dikenali sebagai Sultan Muhammad V.Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lepas.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan