Isnin, 13 September 2010

Mahathir Sesal Tak Sudah Hancurkan Masa Depan Melayu

SHAH ALAM 13 Ogos - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dihantui mimpi ngeri atas dosa lampaunya kerana melakukan banyak kesilapan besar membohongi rakyat terutama berkaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang membabitkan orang Melayu selama 22 tahun mentadbir negara.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata Dr Mahathir kini seolah-olah diselubungi rasa amat bersalah sehingga menyebabkan beliau ketakutan disebabkan formula Model Ekonomi Baru (MEB) yang di bawa dan diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat lebih buruk berbanding DEB semasa zamannya.
Ini kerana MEB berlandaskan acuan untuk membangunkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi melalui pendekatan lebih inklusif berdasarkan meritokrasi tetapi pada masa yang sama meminggirkan kepentingan golongan Bumiputera.
"Mahathir pada jangkaannya mengharapkan dasar MEB yang diperkenalkan Najib adalah dasar yang lebih baik dan dapat memulihkan semula kegagalan yang telah beliau lakukan kepada golongan Bumiputera semasa era pentadbirannya dahulu.
"Sebaliknya apa yang berlaku, MEB tidak langsung menyentuh mengenai kepentingan mahupun cara untuk melindungi kaum Bumiputera. Sebab itu kita melihat Mahathir sering memberikan kritikan terhadap Najib sehingga dalam masa sama menampakkan beliau sebenarnya sedang menghalang Najib daripada meneruskan agenda pelaksanaan Model Ekonomi Baru di negara ini," katanya Azankepada Suara Keadilan.
Beliau mengulas berhubung kritikan Dr Mahathir dalam blognya 24 Ogos lalu yang menghentam dasar meritokrasi dan menganggap mereka yang menyokongnya sebagai keliru.
"Mahathir yang kita kenali amat pintar dalam strategi politik dan bijak memainkan emosi manusia dalam isu seumpama ini.
"Beliau mempunyai mesej tertentu untuk dirinya menebus dosa dan membersihkan tangannya daripada kekotoran yang dilakukannya kepada orang Melayu selama 22 tahun pemerintahannya
"Orang Melayu telah tercicir, lumpuh dan mundur hampir dalam semua sektor kehidupan, sosio-ekonomi, sosial, bahasa Melayu, pendidikan bahkan agama Islam," tegas Azan lagi.

Kesan dasar Perdana Menteri keempat itu menurut Azan telah memangsakan majoriti orang Melayu dan Bumiputera kecuali segelintir golongan atasan, kroni dan elit Umno yang mengaut kekayaan secara rakus.
Paling parah kata beliau ialah orang Melayu yang tinggal di luar bandar dan kawasan setinggan dalam bandar termasuk juga orang bukan Melayu yang berada dalam kelompok yang sama.
Jelas Azan lagi, DEB yang bermula pada 1970 sehingga 1990 sepatutnya telah berjaya meningkatkan ekuiti ekonomi orang Melayu kepada 30 peratus sebagaimana sasaran tetapi dalam tempoh 22 tahun Dr Mahahtir menerajui negara yang mampu dicapai hanya 19 peratus sahaja.
Sehubungan itu, Azan meramalkan sekiranya Najib masih mahu melaksanakan MEB, besar kemungkinan Dr Mahathir akan membongkarkan satu rahsia besar yang telah disembunyikannya selama lebih dua dekad berkaitan DEB dalam masa terdekat.
"Apabila Mahathir menyembunyikan sesuatu fakta, bermakna dia membohongi rakyat Malaysia selama lebih 22 tahun malah mungkin 30 tahun.
"Antara igauan ngerinya, Mahathir sama sekali tidak boleh melupakan tentang dasar Pandang Ke Timur yang berkait dengan Jepun dan Taiwan.
"Sekarang Jepun sedang membongkarkan satu-persatu berhubung usahasama negara itu dengan Mahathir dahulu yang menyebabkan negara itu gagal dan dilanda masalah ekonomi dan akhirnya rakyat menolak kerajaan waktu itu (Parti Liberal Demokrasi) dan menukar pemimpin mereka.
Azan berkata akibat budaya rasuah, nepotisme dan kronisme yang dibenarkan berleluasa di bawah pentadbirannya Dr Mahathir kini terpaksa melalui kehidupannya sekarang dengan penuh penyesalan.
"Oleh sebab itu, Mahathir tidak sanggup dirinya disumpah oleh rakyat Malaysia untuk kali kedua. Cukuplah berpuluh tahun dia menipu rakyat. Dia juga tidak mahu pisang berbuah dua kali di bawah pentadbiran Najib," ulas beliau.
Beliau kini dilihat menyokong kuat kumpulan ekstremis Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyebabkan sokongan terhadap Umno-Barisan Nasional dikalangan pengundi bukan Melayu semakin merosot.SK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan