Selasa, 14 September 2010

Laporan terkini kes bunuh/bakar Datuk Sosilawati Lawiya hari ke-3 : 14/9 /2010





BANTING, 14 Sept — Polis hari ini menggeledah pejabat firma guaman milik peguam bergelar Datuk di sini bagi mencari bukti penglibatannya dengan kes penipuan hingga membawa kepada pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Sepasukan polis dilihat tiba di pekarangan firma guaman, yang terletak di Jalan Kemboja 33, Off Jalan Sultan Alam Shah di sini kira-kira pukul 10.45 pagi, namun beredar lima minit kemudian apabila gagal membuka pintu pejabat berikutan kunci yang tidak sesuai.

Polis kemudiannya dilihat kembali ke firma itu kira-kira 30 minit kemudian bersama seorang lelaki, yang berpakaian lokap warna ungu, dipercayai peguam bergelar Datuk itu.

Peguam berumur 41 tahun itu merupakan seorang daripada lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38,dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Selepas lebih satu jam berada di firma milik suspek, polis dilihat membawa keluar peralatan seperti CPU dan beberapa dokumen sebelum membawa keluar suspek dari pejabat itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Laporan sebelum ini menyebut, firma guaman berkenaan merupakan lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek, dan abunya dibuang ke sungai berhampiran.

Firma itu difahamkan menjadi lokasi urus niaga suspek dan mangsa. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan