Selasa, 21 September 2010

Isu Kamalanantan Masuk Masjid,Kenyataan Terkini Khalid Samad


KUALA LUMPUR, 21 Sept — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mencabar Majlis Agama Islam Selangor (Mais) agar konsisten dalam menguatkuasakan arahan yang dikeluarkannya, terutamanya berhubung isu tidak membenarkan orang bukan Islam daripada memasuki ruang solat masjid.
Beliau berkata institusi agama itu sepatutnya bertindak adil dan konsisten bukan mencampurkan hal-hal agama dan politik dalam melaksanakan arahan.
“Saya sebenarnya tidak kisah jika Datuk Mohamad Idris Abu Bakar (ADUN Hulu Bernam) berucap dalam ruang solat masjid atau P. Kamalanantan (Ahli Parlimen Hulu Selangor) masuk ke ruang solat masjid untuk sampaikan sumbangan.
“Yang menjadi masalah sekarang adalah Mais, kerana mereka tidak konsisten dan adil.
“Bila membabitkan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) tidak boleh tapi bila wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pula tiada masalah. Bukankan ini menunjukkan Mais tidak konsisten?” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Khalid (gambar) yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, sasarannya adalah Mais bukan kedua-dua wakil rakyat BN itu.
“Sasaran saya adalah Mais. Bagi saya apa yang dilakukan oleh kedua-dua wakil rakyat BN itu tidak ada masalah dan harus digalakkan lagi yang sepatutnya turut melibatkan wakil rakyat PR.

“Ini jelas menunjukkan sikap ‘double standard’ yang dilakukan Mais dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Kalau tidak boleh, cakap tidak boleh dan kalau boleh, jangan halang,” katanya.
Jumaat lalu, Khalid menulis dalam blognya bahawa Umno berpura-pura dalam isu yang hampir sama yang melibatkan Ahli Parlimen Hulu Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri BN.
“Sepanjang bulan Rejab, Shaaban dan Ramadan kita telah dihidang dengan bermacam-macam berita berhubung kononnya berlaku penyalahgunaan masjid dan surau apabila Selangor berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Dengan bantuan pihak media yang telah bekerja keras di sepanjang bulan-bulan tersebut, rakyat Malaysia telah diberikan gambaran seolah-olah Islam tercemar dan terancam oleh kerana sikap ‘tunduk kepada DAP’ khususnya dan pengundi bukan Islam secara umumnya,” kata Khalid dalam blognya.
Tulisan bertajuk “Umno, Kura-Kura dan Perahu”, Khalid menambah, menurut Umno dan BN lagi, ia dilakukan demi memperoleh undi, khususnya oleh pemimpin-pemimpin PAS dan parti PAS itu sendiri.
Khalid, Yang Dipertua PAS Shah Alam, turut menyiarkan beberapa gambar di blognya menunjukkan wakil rakyat Umno memberikan tazkirah di Masjid Lama Hulu Bernam dan Masjid Felda Gedangsa.
Khalid menimbulkan persoalan sama ada wakil rakyat berkenaan mempunyai tauliah.
Selain itu beliau turut menyiarkan gambar Kamalanathan bersama ADUN Umno menyerahkan sumbangan cek dalam Masjid Sungai Tengi Selatan.
Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.
Ketika ditemui The Malaysian Insider di Shah Alam malam tadi, Mohamad Idris menafikan dakwaan Khalid bahawa beliau memberikan tazkirah, lebih-lebih lagi tanpa tauliah ketika berada di sebuah masjid di Hulu Bernam ketika Ramadan lalu.
Sementara itu, Kamalanathan enggan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan beliau memasuki ruang solat Masjid Sungai Tengi Selatan.
Pada 2 September lalu, Mais telah mengeluarkan surat arahan supaya orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ke ruang solat masjid dan surau di Selangor.
Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching telah dari DAP telah menerima surat amaran daripada Mais meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.
Dalam surat amaran itu, Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.
Teo dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.
Selain Teo, seorang lagi ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat (PR) William Leong (Ahli Parlimen Selayang) juga turut “diserang” kerana memberikan sumbangan kepada masjid dan surau di bahagian Parlimen Selayang.TMI

1 ulasan:

  1. Sememangnya kita sudah lama maklum bahawa institusi2 yang diwarisi dari kerajaan laknatullah terdahulu masih ada ramai pendukung2 yang amat setia. jadi dah sampai masanya PKR humban mereka semua sebelum kerosakan lain yang lebih besar dilakukan oleh manusia2 laknat ini. mereka tidak akan berhenti melakukan kerosakkan... jadi PKR sebagai komponen kepada gerakan yang inginkan keamanan, kebaikkan dan ketelusan MESTI mengambil tindakan bijak dan sistematik untuk menyingkirkan barua2 yang masih ada.

    BalasPadam