Ahad, 8 Ogos 2010

Penyatuan: PAS bukan ego, Umno kena muhasabah

Hadi menegaskan kesetiaan PAS kepada Pakatan Rakyat. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu tidak ego dalam soal perbincangan ke arah penyatuan orang Melayu tetapi tidak mahu Umno menggunakan pihaknya untuk “meringankan beban” akibat pentadbirannya selama ini.
Sehubungan itu Hadi juga memberitahu Umno juga perlu muhasabah dalam memperlihatkan keikhlasannya jika mahu menjalin kerjasama dengan PAS.
Hadi menjelaskan, PAS bersedia untuk menjalin kerjasama dalam soal-soal kebajikan, antara memerangi dan menghapuskan gejala sosial dan jenayah.
“Tetapi kerjasama untuk memikul beban dengan masalah mereka (Umno) dengan penyakit yang memarakkan rakyat seperti rasuah, dia (Umno) ajak kita (PAS) berkawan semata-mata untuk meringankan beban dia, ini kita minta maaf.
“Kita bukan ego, tapi kita pertahan prinsip yang dianjurkan Islam dalam bersatu dan bekerjasama,” kata beliau dalam temu bual terbaru disiarkan edisi baru Harakah.
Isu penyatuan Umno-PAS menjadi tumpuan sekali lagi sepanjang bulan bulan lalu, antara lain Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan sedia menjadi orang tengah ekoran permintaan beberapa pemimpin dari Umno dan PAS.
Sementara Umno mengalu-alukan langkah ke arah itu, PAS berdasarkan pengalaman masa lalu, menolak ajakan tersebut.
Misalnya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan parti itu tidak mahu digigit buat kali kedua dengan merujuk peristiwa 1978.
PAS menyertai Barisan Nasional pada 1974 dan keluar empat tahun kemudian.


Harussani mendakwa diminta menjadi pengantara di dalam isu penyatuan PAS-Umno. — gambar fail
Kini ia menganggotai Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS mempunyai konsep yang konsisten untuk meneguhkan parti itu yang menurutnya bersikap terbuka.
“PAS setia dengan kawan kita, dan beradap dengan lawan kita seperti Umno-BN.
“Islam mengajar umatnya untuk tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan bukannya tolong-menolong dalam perkara mungkar,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya perkara baik dan taqwa seperti isu-isu bersama kekejaman Israel, Bosnia, Afghanistan dan isu-isu kemanusiaan yang lain.
“PAS tak ada masalah untuk bekerjasama. Bukan sahaja PAS boleh baca sajak bersama, bukan sahaja PAS ada sumbangan, Umno juga.
“Ini kita akui. Di sini kita tidak boleh bertelingkah,” katanya lagi.
Mengenai soalan bahawa Hadi memberi signal yang PAS menolak ajakan Umno untuk bersatu atau bekerjasama, presiden itu menjelaskan, “Islam mengajar ada perkara yang wajib bersatu dan ada perkara haram untuk kita bersatu.”
Katanya, wajib bagi PAS menolong mencegah masalah tetapi haram jika menyokong ke arah kemungkaran.
“Waktu PAS hendak melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kita diberikan surat amaran, jika buat kerajaan pusat akan bertindak.
“Jika begitu bagaimana hendak bekerjasama dengan parti macam ini?” katanya.
Hadi menambah, PAS juga mengambil kira tanda keikhlasan dalam soal ini.
“Kita pernah memerintah dua buah kerajaan negeri sebelum ini iaitu Kelantan dan Terengganu. Apa yang Umno-BN tak buat pada PAS?
“Boleh disenaraikan. Apa yang Umno buat pada kerajaan Sabah sewaktu PBS menang?” kata beliau sambil menambah, “pemimpin-pemimpin Umno perlu muhasabah balik.”
“Anak-anak kita di universiti dinafikan biasiswa, pensyarah pula ada yang ditukar, dibuang daerah.
“Saya guna istilah buang daerah kerana Umno memang begitu. Hal ini amat menyentuh ahli biasa PAS,” katanya.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan