Rabu, 16 Jun 2010

Najib 'tinjau' lokasi Pejabat PAS Kelantan


KOTA BHARU, 16 Jun: "Datuk Seri Najib Razak datang ke pejabat Perhubungan PAS Kelantan" geger diperkatakan orang ramai di sini pagi tadi. Telahan itu dibuat ekoran ura-ura Perdana Menteri akan minum di sebuah kedai kopi di kawasan berkenaan.

Mereka membuat andaian iitu apabila beberapa hari lalu pegawai kerajaan persekutuan difahamkan dari Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dilihat mereka memasuki restoran Mutiara Corner bersebelah pejabat berkenaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Mohamad mendakwa, Perdana Menteri akan minum pagi di kedai terbabit bagi memperlihatkan sikap mesranya sebelum merasmikan Ar Rahn milik Bank Islam berhampiran kompleks Mara di Jalan Datuk Pati.

Telahan itu dibuktikan lagi apabila jalan Datuk Pati ditutup kepada sebarang lalu lintas sejak pagi lagi.
Pihak polis pula memasang tali keselamatan di kawasan berkenaan dan kelihatan begitu ramai anggota polis termasuk berpakaian biasa mundar mandir di lokasi terbabit.

Orang ramai juga berada di restoran berkenaan untuk menanti kehadiran Najib ke kawasan yang dipenuhi penyokong PAS.
Bagaimanapun ketika kenderaan membawa perdana menteri tiba kira-kira jam 11 pagi tadi, kereta itu dan rombongannya tidak singgah di kedai berkenaan, sebaliknya terus ke lokasi tempat perasmian Ar-Rahn.
Andaian "Najib datang ke pejabat PAS Kelantan" akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau tiba-tiba muncul selepas majlis perasmian Ar Rahn. Turut kelhatan bersamanya Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen.


Sebelum itu ketika tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perdana menteri disambut dengan banner Gerakan Bertindak Rakyat Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) yang menuntut Najib membayar royalti RM2 bilion kepada Kelantan(gambar atas).

"Perdana Menteri datang berhampiran pejabat Perhubungan PAS Kelantan dengan dikawal ketat anggota polis," kata seorang lelaki separuh umur yang sejak pagi berada berhampiran restoran Mutiara Corner.

Seorang lelaki separuh usia pula mendakwa orang ramai yang sejak pagi lagi berada di kedai makan berkenan diminta keluar menjelang jam 12 pagi sebelum ketibaan Najib.

Hanya beberapa meja yang terletak di kaki lima restoran sahaja dibenarkan pelanggan berada di situ.

Menurutnya, pegawai JPP yang mengatur kehadiran perdana menteri ke restoran berkenaan hanya mahu membayar meja yang diduduki Najib sahaja.

"Keadaan itu mengejutkan kerana tindak tanduk tersebut tidak mencerminkan 1Malaysia. Ini memberi gambaran perdana menteri hanya membayar pesanan makanan di meja yang ditempah sahaja sedangkan meja lain dibiarkan," kata seorang pelanggan.

Pusat bandar Kota Bharu terutamanya di lokasi berhampiran Jalan Datuk Pati sesak teruk pagi tadi memandangkan pegawai dan kakitangan kerajaan persekutuan dikerah hadir majlis perasmian Ar Rahn Bank Islam.

Banyak kenderaan yang ditulis perkataan Kementerian Dalam Negeri berada di lokasi terbabit. Selain itu kenderaan pelbagai agensi kerajaan pusat turut memenuhi ruang kiri kanan jalan.

Seorang pegawai dari Machang memberitahu beliau dan rakan-rakan sekerja dikerah hadir ke majlis tersebut.
Selain itu ada guru membebel panjang kerana dipaksa hadir ke majlis berkenaan sedangkan mereka sibuk dengan kenduri kendara di rumah.

Sebelum datang ke Jalan Datuk Pati, perdana menteri difahamkan berehat di Hotel Renaisance setelah tiba di Kota Bharu.

Kawasan hotel lima bintang berkenaan kelihatan begitu ramai anggota keselamatan. Kehadiran helikopter yang mundar mandir di udara membingitkan lagi suasana.

Petang ini Perdana Menteri dijangka hadir ke sebuah wat Siam di Jubakar Darat di Tumpat pada majlis bersama rakyat berbilang kaum.

Menurut sumber, pada majlis itu Najib difaham akan menyampaikan cek berjumlah ratusan ribu kepada pengurusan wat Siam untuk membina sebuah menara loceng bagi kegunaan penganut agama Buddha.

Manakala pada malam ini, perdana menteri akan hadir pada majlis perasmian karnival Kelantan Fiesta 2010 di Stadium Sultan Mohammad Ke IV.

Menurut kenyataan media Redcarpet Worldwide Sdn Bhd, Kelantan Fiesta akan diramikan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.
Turut dijemput Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.Fiesta berkenaan dianjurkan bersama MITI dan kerajaan negeri Kelantan.

Kehadiran presiden Umno ke Kelantan melengkapkan Kota Bharu menjadi tumpuan tiga parti utama di negara ini iaitu PKR dengan Kongres Nasional pada akhir Mei lalu dan muktamar PAS yang berakhir Ahad lepas.Dan hari ini Presiden Umno juga memilih Kota Bharu sebagai lokasi lawatan kerjanya.

"Najib ke Kota Bharu kemungkinan bagi mengikut jejak Anwar Ibrahim dan Ustaz Hadi yang berkampung di sini, baru-baru ini," kata seorang pemerhati politik.Hrkh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan