Khamis, 27 Mei 2010

SIASAT PERCUBAAN RASUAH SAMY VELLU OLEH PM

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menuntut satu siasatan telus dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap satu pendedahan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Anak Presiden MIC S.Samy Vellu, S.Vell Paari sebelum ini mendedahkan seorang Pegawai Khas Perdana Menteri telah datang membawa tawaran dari Perdana Menteri menawarkan gelaran Tun dan jawatan Duta bagi tujuan kompromi isu calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor.
Menurut Mahfuz, pendedahan ini suatu yang serius yang menunjuk ada unsur dan amalan rasuah dalam pemilihan calon BN dari MIC dalam PRK Hulu Selangor.
Dakwaan S.Vell Paari itu juga menunjukkan amalan tawaran yang berunsur rasuah itu bukan saja berlaku dalam pemilihan calon BN di Hulu Selangor, tetapi ianya menunjukkan berlaku dalam banyak hal untuk memastikan apa saja keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang juga pengurusi BN diterima oleh semua peringkat dalam BN.

" Amalan ini adalah untuk menutup mulut dikalangan pemimpin BN agar tidak membuat kacau yang boleh menjejaskan kepentingan politik BN.
" Perbuatan ini juga adalah satu bentuk amalan buruk dalam penyalahgunaan kuasa yang boleh mengakibatkan kehilangan khazanah negara yang diagihkan kepada pemimpin Umno / BN setiap kali berlaku krisis dikalangan dalaman Umno / BN," katanya dalam satu kenyataan media kepada erapakatan.com..
Sehubungan itu, beliau meminta agar penyiasatan dijalankan segera oleh pihak SPRM bagi menyelamatkan khazanah kekayaan negara dari difaraidkan untuk kepentingan Umno / BN.
" Saya mengajak rakyat menolak parti dan pemimpin Umno / BN dari menerajui dan menguruskan negara Malaysia demi untuk kepentingan rakyat semua," katanya.Erapakatan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan