KOTA BHARU, 7 Mei: Datuk Husam Musa berkata, memandangkan Umno mendakwa beliau menggunakan peruntukan RM4 juta sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi tersingkir dan Umno Kelantan semakin tenat, beliau akan meneruskan hasrat tersebut hingga ke Putrajaya.
“Memang dakwaan RM4 juta memfitnah Pak Lah dan sebagainya adalah fitnah, tetapi dengan fitnah itu ianya menjadi satu modal buat saya untuk membuka satu tabung untuk menawan Putrajaya dengan kos RM20 juta,” katanya dalam nada menyindir ketika menyampaikan ceramah di Taman Guru di sini, malam tadi.
Katanya, semoga dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab itu sehingga memberikannya sebagai satu ilham, diharap tabung RM20 juta berjaya disemarakkan ke Putrajaya.
Katanya lagi, beliau berbuat demikian kerana tidak mahu terperangkap dalam perangkap yang dipasang oleh pihak lawan kepada PAS.
Sambungnya, ia sebagai taktik pihak kerajaan untuk tidak memberi ruang pada PAS melawan mereka.
“Kalau lawan saja mereka mulalah keluar PAS guna RM4 juta untuk musnahkan Pak Lah dan sebagainya, itu tidak betul, lainlah kalau kita guna duit kerajaan, belum apa-apa lagi SPRM akan hambat kita,” ujar Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi.
Katanya lagi, pemimpin PAS sejak awal lagi sering diberi sumbangan oleh para dermawan yang ingin melihat syariat Islam tersebar di negara ini.
Menurutnya, sebagai contoh beliau sendiri yang hanya mendapat bayaran gaji RM400 sewaktu bekerja di Pejabat PAS, namun boleh keluar berceramah ke mana-mana, kerana ada yang memberi sumbangan.
“Ianya berlarutan sewaktu saya menjadi anggota Parlimen, bantuan yang pelbagai turut saya terima dari penyokong di bawah, semuanya kerana perjuangan Islam, begitu juga untuk bantuan zakat saya turut menerima sumbangan untuk diagihkan pada rakyat,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, semangat rakyat untuk melihat pentadbiran kerajaan diterjaui oleh mereka yang beramanah semakin hebat.
Katanya, PAS tidak pernah memburukkan Pak Lah sewaktu berkempen, sebaliknya hanya menceritakan kebaikan PAS, agar rakyat sedar.
“Yang kata PAS berkempen burukkan Pak Lah biar sampai dia jatuh itu hanya mainan media,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan turut menjelaskan, PAS sama ada kerajaan tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4juta untuk menjatuhkan kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri sebagaimana yang didakwa.
Menurutnya, Global Media Channel (GMC) hanyalah ditubuhkan sebagai PR media.
Katanya lagi, sebagai sebuah syarikat yang tidak terikat dengan mana-mana pihak, ianya lebih menjuruskan pada konsep perniagaan sama ada dengan kerajaan negeri mahupun parti.
“GMC yang diurus oleh seorang yang professional dalam bidang-bidang tertentu telah menggerakkan beberapa projek melalui syarikat terbabit.
“Antara perkara yang dia buat ialah buku yang bertajuk ‘Sketsa Tuan Guru Sebagai Seorang Pemimpin Rakyat’ di mana dalam buku terbabit banyak mempamerkan gambar-gambar Tuan Guru,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai aksi Tuan Guru terkandung dalam buku tersebut dan ianya diedarkan dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
Katanya lagi, seperkara lagi yang di buat oleh syarikat GMC ialah poster Tuan Guru sedang berdoa di mana gambar-gambar itu juga disebarkan kepada rakyat di negeri ini.
“Ada maklumat yang menyatakan saya membayar pada GMC RM40,000, sebenarnya saya membayar lebih daripada jumlah itu,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, rakyat tidak perlu mempersoalkan di mana peruntukan itu diambil dan jangan berfikir sebagaimana pemimpin Umno berfikir.
Husam menambah, sekiranya rakyat memikir sebagaimana Umno berfikir, sampai bila-bilapun peruntukan lebih RM40,000 itu tidak akan terjumpa.
“Kalau berfikir dengan otak PAS, begini jawapannya, Allah akan menggandakan segala perbelanjaan untuk perjuangan fisabillillah dengan berlipat kali ganda dengan tidak menzalimimu.
“PAS sering dibantu oleh jutawan serta golongan korporat yang ingin mendapat keredhaan Allah di atas apa yang mereka belanjakan,” ujarnya.
Kerana itu, tamabhnya mereka sering membantu PAS dalam sumber kewangan untuk membantu perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.
Katanya, peruntukan yang dikatakan RM4 juta memang besar sebab dikira dengan perbelanjaan sewa bangunan berkenaan.
“Nasib baik sewa bangunan di Kelantan, kalau sewa di Putrajaya lagi besar perbelanjaannya, kita ni kena kira biar betul dan jelas,” ujar Husam lagi.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan