Selasa, 18 Mei 2010

Mahkamah Tangguh Hukuman Terhadap Bung Moktar,Zizie

Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin bersama isteri keduanya, pelakon Zizie Izette Abdul Samad ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Taman Keramat di sini, hari ini.Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 18 Mei — Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan keputusan jatuh hukum ke atas Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan isteri, pelakon Zizie Izette Abdul Samad esok.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu setelah mendengar rayuan dan hujahan akhir pihak pendakwaan dan pembelaan.
Wan Mahyuddin juga menetapkan esok untuk keputusan kes dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain yang didakwa atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.
Pada 20 April lalu, Bung Moktar, 51, dan Zizie, 31, mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini atas pertuduhan berkahwin tanpa kebenaran mahkamah, hujung tahun lepas.

Bung Moktar dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan isterinya di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lepas.
Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi tuduhan itu, pasangan tersebut didakwa mengikut Seksyen 124 dan Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Manakala, Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48, Samzy Fuzette Abdul Samad, 34, Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan anggota Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen yang sama yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40(1)(a) Enakmen yang sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.
Kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Amli Embong.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan