KOTA BARU, 5 Mei — Tengku Temenggong Kelantan yang ‘dibawa’ ke Ibu Pejabat Polis di sini lewat petang semalam — perkembangan terbaru sebalik krisis Istana Kelantan, meninggalkan premis itu kira-kira tiga jam kemudian.
“Tengku Temenggong (Tengku Muhammad Fakhry) sudah dibebas... lebih kurang pukul 10.30 tadi (malam tadi),” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Bagaimanapun sumber itu tidak dapat mengesahkan status lima pengawal peribadi Tengku Temenggong termasuk dua doktor Sultan Kelantan yang turut dibawa bersama ke IPK.
Tengku Muhammad Fakhry ditahan anggota Unit Tindakan Khas kira-kira 100 meter dari Istana Mahkota di sini, lebih kurang sejam selepas beliau memberi kenyataan media berhubung kegagalan untuk membawa ayahandanya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ke Singapura untuk rawatan susulan.
Ketika ditahan, beliau dalam perjalanan ke lapangan terbang membawa Sultan Kelantan berangkat ke Singapura.
Sebab Tengku Temenggong dibawa ke IPK tidak diketahui.
Sultan Kelantan pula dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kira-kira 7.30 petang, lebih kurang 10 minit selepas Tengku Muhammad Fakhry dibawa ke IPK.
Sultan Kelantan berada di Wad Diraja HUSM dengan ditemani Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Turut berangkat ke HUSM malam tadi ialah Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra, Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faez Petra dan Puteri baginda Tengku Amalin Aisyah.
“Ada semua di atas (wad), Raja Perempuan, Pemangku Raja, Tengku Bendahara, Tengku Amalin, semua ada” kata seorang pegawai dari pejabat Istana Diraja Kelantan yang sempat ditemui di ruang parkir kenderaan hadapan hospital.
Bagaimanapun anggota pentadbiran kerajaan negeri tidak kelihatan.
Pada sidang media kira-kira 6 petang semalam Tengku Temenggong Kelantan dukacita dengan tindakan pihak tertentu menghalang pesawat khas untuk membawa Sultan Kelantan ke Singapura daripada mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat sini.
Tengku Muhammad Fakhry berkata arahan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa lapangan terbang.
Mengikut jadual asal Sultan Kelantan sepatutnya berangkat ke Singapura pada pukul 11.30 pagi semalam untuk rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth.
Perkembangan terbaru ini menyusul kejadian seorang pengawal Istana Diraja Kelantan parah ditembak oleh individu yang tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat awal pagi Sabtu lalu.
Ramli Mohamad, 50, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Akhir Mac lalu, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud ditahan reman polis ekoran kenyataan beliau mengenai pemecatan Pemangku Raja.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan