HULU SELANGOR, 23 April: Walaupun Umno/BN dalam pusingan akhir berkempen melambakkan wang rasuah kepada para pengundi, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mengingatkan jentera dan rakyat supaya terus komited menolak gejala rasuah.
“Sekali lagi, saya nak ingatkan kita (Pakatan Rakyat) tak perlu bimbang, kita tak perlu takut untuk terus memupuk kepercayaan kepada pengundi.
“Rakyat di Hulu Selangor pun, saya yakin tidak bersedia menerima rasuah,” jelas beliau pagi tadi di Pusat Media dan Informasi, Kuala Kubu Baru.
Beliau yang juga seorang Koordinator Pakatan Rakyat berkata, sekiranya kuasa rasuah dan politik wang Umno berkesan dalam pilihan raya tanah air, maka sudah tentu kesemua 222 kawasan Parlimen di Malaysia telah pun dimenangi oleh Umno/BN.
“Kalau rasuah boleh memenangkan mana-mana calon BN, maka kesemua Parlimen jadi milik mereka, mengapa ada ahli Parlimen pembangkang sekarang ini,” soalnya.
Tambahnya lagi, keputusan rakyat memilih kesemua 80 ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) sebenarnya demi menyelamatkan Malaysia daripada terus dibinasakan oleh gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Bercakap di depan lebih 20 wartawan di sini, beliau sendiri terpaksa mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini kerana tidak bersetuju dengan ketidakbebasan mahkamah di Malaysia serta penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) secara zalim.
Dalam pada itu, beliau dilihat seakan menyindir Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pada pilihan raya kali ini.
“Nampaknya saya dalam pilihan raya kali ini terpaksa berlawan dengan individu yang dianggap terkaya di Malaysia (Nazir), adik kepada Najib,” jelas beliau dalam nada yang kesal.
“Saya juga terpaksa berdepan dengan Perdana Menteri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, itulah yang saya perlu hadapi kalau mereka amalkan rasuah di Hulu Selangor.”
Sebelum itu, Ketua Strategik PKR, Tian Chua mendedahkan tentang beberapa kes sogokan bernilai RM1,000 kepada keluarga tertentu di Hulu Selangor yang membabitkan individu yang dipercayai jentera Umno/BN.
“Keluarga tertentu ada yang dah terima sejumlah RM1,000 dan ada yang menerima lebih dari itu,” jelas beliau.
Dengan dua hari lagi untuk berkempen, beliau menasihatkan supaya jentera Umno/BN kembali mengamalkan kempen politik yang lebih beretika dan bermaruah kerana pilihan raya kecil kali ini diadakan bukannya untuk memilih Ketua Cawangan Umno.
Sebaliknya, menurut beliau, pilihan raya kali ini untuk memilih seorang ahli parlimen yang benar-benar berani lagi ikhlas untuk mewakili rakyat Hulu Selangor di Dewan Rakyat kelak.
Turut menyertai Zaid dan Tian adalah Fuziah Salleh, Pengarah Pilihan Raya PKR dan Latheefa Koya, Ketua Penerangan PKR.Hrkh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan