Sabtu, 17 April 2010

Saingan empat penjuru di Hulu Selangor


KUALA LUMPUR, 17 April — Pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor — pilihan raya kecil pertama di Selangor selepas Mac 2008 — menyaksikan saingan empat penjuru.
Pakatan Rakyat (PR) yang turun untuk mempertahankan kerusi itu, yang dimenangi pembangkang itu buat julung kali pada 8 Mac 2008, menghadapi saingan Barisan Nasional (BN), dan dua calon Bebas.
BN diwakili oleh Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan manakala PR pula Datuk Zaid Ibrahim.
Dua calon Bebas pula terdiri daripada Johan Mat Diah dan S. Chandran — kedua-duanya masing-masing ahli Umno dan MIC.
Walaupun pilihan raya kecil ini tidak akan membawa kesan signifikan termasuk impak ke atas barisan kerajaan BN atau PR, tetapi dari segi moral ia dilihat sangat penting bagi kedua-dua ikatan berkenaan.
Jumlah empat calon bertanding ini jauh lebih kecil berbanding 37 set borang penamaan calon dikeluarkan oleh SPR setakat semalam. Seorang guru, J. Anuradha mendakwa gagal menyerahkan borang penamaan calon atas alasan dihalang kononnya lewat tiba di pusat penamaan calon.

Sementara Kamalanathan dan Zaid masing-masing akan menggunakan simbol BN dan Parti Keadilan Rakyat, Chandran memilih lambang jam dan Johan pula cangkul.
Kamalanathan dan Zaid bukan merupakan pengundi bahagian Hulu Selangor ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan keempat-empat calon yang mengemukakan borang penamaan diterima tanpa senarang bantahan.
“Apabila penamaan calon ditutup pukul 10 pagi, hanya empat borang penamaan calon diterima dan tidak ada bantahan yang diterima,” kata Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nor Hisham Ahmad Dahalan kira-kira 12.15 tengah hari.
Zaid merupakan calon pertama mengemukakan borang penamaan calon iaitu sebaik sahaja sesi mengemukakan borang penamaan calon dibuka.
Beliau tiba di kawasan pusat penamaan calon kira-kira 8.53 pagi dengan diiringi Ketua Umum Pakatan Ralyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Sing, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan serta pemimpin-pemimpin kanan PR.
Beliau diikuti Kamalanathan kira-kira 30 minit kemudian dan Chandran dan Johan.
Rombongan BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berdasarkan urutan nama diumumkan oleh SPR selepas selesainya sesi mengemukakan borang penamaan calon dan bantahan, Chandran berada di barisan utama, dan disusuli oleh Kamalanathan, Zaid dan Johan.
Difahamkan nama pada kertas undi akan tertera ikut kedudukan tersebut.
Pengundian bagi kawasan pilihan raya ini, yang mempunyai 64,500 pengundi, akan diadakan pada 25 April ini.
Kamalanathan, Chandran dan Johan merupakan muka baru dalam pilihan raya manakala Zaid pernah bertanding di kerusi Kota Baru pada 2004.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lalu kerana barah otak.
Kawasan pilihan raya parlimen itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.
Pada 8 Mac 2008, Allahyarham Zainal menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel dengan majoriti 198 undi manakala undi rosak yang direkodkan adalah sebanyak 1,466.TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan