Rabu, 21 April 2010

Permohonan Zahid Hamidi batal saman usahawan ditolak

SHAH ALAM, 21 April — Mahkamah Tinggi di sini menolak dengan kos permohonan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar)untuk membatalkan saman malu yang difailkan oleh seorang usahawan terhadap beliau, tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu di dalam kamarnya hari ini.

Mahkamah juga memberi tempoh selama sebulan kepada Ahmad Zahid untuk memfailkan pernyataan  pembelaannya berhubung saman itu.
Pada 4 Julai 2007, Amir Bazli Abdullah, 39, selaku plaintif memfailkan saman malu itu terhadap  Ahmad Zahid selaku defendan. Dalam saman itu, Amir Bazli mendakwa Ahmad Zahid menumbuk muka beliau dalam satu kejadian  pada 16 Jan 2006 dan menuntut sejumlah ganti rugi yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Pada 29 Ogos 2007, Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman malu itu  dengan alasan ianya mengaibkan dan remeh-temeh. Amir Bazli dalam pernyataan pembelaannya pula mendakwa permohonan Menteri itu untuk  membatalkan saman malu tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan tidak berasas. Beliau diwakili peguam Karpal Singh dan Sangeet Kaur Deo sementara Ahmad Zahid diwakili peguam  Shashi Menon dan Shamsul Bahrain Ibrahim. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan