KUALA LUMPUR 15 Apr - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberi tempoh selama tujuh hari kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk memberi penjelasan berhubung satu artikel yang disiarkan dalam tabloid Umno, Selangor Kita.
Edisi terbaru bulan tiga akhbar itu pada artikel muka depannya memetik kenyataan Harussani yang mendakwa Khalid Samad 'tidak beriman' kerana memberi cadangan terhadap enakmen undang-undang Islam Selangor.
Mengulas mengenai akhbar berkenaan, Khalid berkata beliau yakin akhbar itu diterbitkan oleh Umno Selangor meskipun dinafikan parti itu sebelum ini.
"Kita yakin memang dikeluarkan mereka kerana tak ada orang lain, tetapi biasa baling batu sembunyi tangan ini memang dasar Umno.
"Sejauh mana kenyataan dari beliau (Harussani), saya tidak tahu, hakikatnya suratkhabar ini diedarkan di lobi Parlimen dan pasti akan diedarkan di Hulu Selangor. Jika kenyataan ini bukan daripada dia dan tidak tepat, saya minta dia nafikan. Jika tidak nafikan saya minta dia tarik balik," kata Khalid pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurut Khalid, sekiranya Harussani tidak menarik balik kenyataannya dalam masa tujuh hari, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kerana menganggap kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
"Tidak layak bagi seorang mufti untuk mengeluarkan kenyataan seperti ini dengan sewenangnya. Lebih lagi dia tidak berhubung dengan saya untuk mendapat sebarang penjelasan. Nampak macam seolah mufti membuat fatwa berdasarkan daripada laporan suratkhabar dan khabar angin. Kalau nak buat pandangan seharusnya dia bertanya kepada saya apakah sikap dan pendirian saya," jelasnya.
Katanya sikap yang ditunjukkan Harussani itu tidak menghairankan memandangkan mufti berkenaan turut mengkritik penubuhan jawatankuasa antara agama tanpa mendapatkan penjelasan dari pihak kementerian terbabit.
"Ini satu budaya yang perlu dicegah kerana memberikan imej yang cukup buruk terhadap agama Islam itu sendiri," kata beliau.
Menurutnya, enakmen undang-undang Islam itu adalah undang-undang pentadbiran dan peraturan tertentu yang ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Selangor.
"Ia bukan peraturan daripada Al Quran dan As Sunnah, ia merupakan pandangan manusia, cara untuk capai matlamat yang ditentukan oleh Al Quran dan Sunnah Rasullah SAW. Maka ia bukan perkara yang kita tak boleh bagi komen dan cadangan.
"Untuk mengeluarkan kenyataan Khalid Samad tidak beriman adalah satu perkara yang jelas tidak wajar. Jika benar kenyataan ini dari beliau, saya rasa dia membuktikan bahawa dia telah tidak layak memegang jawatan sebagai mufti," katanya.
Menurutnya lagi, beliau yakin suratkhabar Selangor Kita itu akan diedar pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor dengan mengeluarkan berita berunsur fitnah termasuk dakwaan rasuah di kalangan Menteri Besar dan Exco Pakatan Rakyat.SK
Salah tajuk da... nanti kena saman
BalasPadamha'a...
BalasPadamBukan 'mufti Perlis', tapi 'mufti Perak'