Ahad, 18 April 2010

Datuk Zaid Ibrahim Nafi Minum Arak

HULU SELANGOR: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim berkata tuduhan yang mendakwa bahawa beliau seorang peminum arak merupakan satu fitnah semata-mata.
Zaid menegaskan perkara tersebut hanyalah rekaan yang dibuat oleh Umno dan Barisan Nasional untuk menyerang peribadainya sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
“Itu fitnah sahaja.Umno ini banyak fitnah. Buktikanlah kalau betul (dakwaan) mereka itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah di Taman Desa Kelisa di Batang Kali di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sebuah blog anti-pembangkang yang mendakwa Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri seorang peminum arak.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Zaid yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu sudah berubah sejak balik daripada mengerjakan ibadat haji.

Mengulas lanjut Zaid yang juga bekas Ketua Umno bahagian Kota Bharu itu berkata, pemimpin-pemimpin Umno menyerang peribadinya sudah lama berlaku sejak beliau keluar daripada parti itu pada tahun 2008 lagi.
“Mereka (pemimpin Umno) serang lama dah. Sudah lebih tiga tahun,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Zaid berkata sokongan yang diterima setakat ini amat baik dan beliau berharap momentum tersebut akan dapat dikekalkan kerana masih ada enam hari lagi untuk berkempen dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor.
Ketika diminta mengulas mengenai calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan yang menggelarkan dirinya sebagai calon bukan pilihan, Zaid berkata beliau tidak gemar pada gelaran atau apa-apa label yang diberikan.
“Saya tidak suka pada label-label sebegini. Dia (Kamalanathan) kata dia underdog (calon bukan pilihan, Tan Sri Muhyiddin Yassin kata saya calon ‘feather weight’.
“Saya pun tidak hirau sangat dengan label itu, saya hanya terus berkempen. Letih juga lagi pun hari ini saya hanya tidur sejam sahaja,” ujarnya.Mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan